Sekali lagi Umno ingin memainkan politik perpaduan Melayu. Pada pendapat saya, perpaduan Melayu akan dicapai apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dan diadakan dengan serta-merta perbicaraan semula kes-kes beliau. Kedua, kembalikan hak rakyat Terengganu iaitu royalti minyak (ini amat penting kerana lebih 90 peratus rakyat Terengganu terdiri daripada orang Melayu). Ketiga, kembalikan Bank Bumiputra. Keempat, Dr Mahathir Mohamad mesti segera letak jawatan dan diadakan perbicaraan dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau, untuk membersihkan nama "baiknya".

Umnolah yang pertama sekali yang memecahkan perpaduan Melayu, khususnya di bawah pimpinan Mahathir. Jika perkara diatas sukar untuk dilaksanakan, maka saya rasa lebih baik Umno menghadapi era permainan politik abad ke 21, dengan menumpukan perhatian kepada isu-isu pendemokrasian Malaysia iaitu, pengembalian sistem kerajaan yang lebih telus, sistem kehakiman yang adil, kembalikan kuasa kepada Parlimen, bebaskan cengkaman terhadap akhbar-akhbar tempatan daripada Akta Pernerbitan dan Percetakan, kembalikan kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (ini lebih baik daripada menangis dekat perhimpunan Umno), hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan akta-akta yang sewaktu dengannya.

Jadi saya ingin menyeru kepada pemimpin-pemimpin PAS, Keadilan, DAP dan PRM, jangan termakan umpan Mahathir.

Mungkin anda perlu mengingatkan Mahathir tentang rancangannya -Wawasan 2020. Antara cabaran wawasannya ialah pengwujudan bangsa Malaysia - ini saya ingat sampai sekarang, kerana pada masa itu saya kena hafal perkara ini untuk " pass exam ".