Apa salahnya Melayu Singapura lebih baik?
Sekiranya gempa-gempita mengenai isu 'Melayu Singapura lebih baik daripada Melayu Malaysia' dijadikan ukuran kemerdekaan dan keterbukaan minda, kalau tidak mutu keintelektualan, kematangan atau kebijaksanaan para pemimpin Umno (baru) serta barisan pelapis mereka, maka malangnya bagi Melayu Malaysia seluruhnya yang masih bernaung di bawah panji-panji ketuanan dan hak-hak keistimewaan Melayu.
Isu sesempit dan setaraf 'masalah negara Singapura' itu mahu dijadikan pertarungan di medan yang tidak setara dan seimbang. Seolah-olah, mereka, yakni pemimpin Umno (baru) tidak mempunyai kerja lain selain berceloteh dan bersembang sesama sendiri melalui media perdana kepunyaan mereka tentang isu remeh-temeh.
Senario yang tipikal ini sama sahaja dalam drama-drama swasta yang menunjukkan orang Melayu melangut di kedai kopi sambil berhujah ala Parlimen. Kedua-duanya tiada banyak berbeza selain kelas dan namanya sahaja. Pelakon, skrip dan pengarah masih 'buatan Malaysia'.
Mengupas sesuatu berdasarkan sentimen dan perspektif sempit sebegini sambil berkokok dengan ekor berlumuran tahi sudah menjadi imej pemimpin Umno (baru) dan yang sewaktu dengannya. Menuding jari ke arah lain tanpa mengukur baju sendiri sudah menjadi aktiviti rasmi pemimpin Umno (baru). Tiada yang benar melainkan benar belaka tentang kesalahan orang lain.
Isu demi isu berbentuk sandiwara semasa ini semakin memualkan. Hero-hero yang bermuka tidak malu terus mahu menunjukan lakonan terbaik di sebalik stereotaip dan anti-klimaks. Skrip kitar semula dengan tatalagu lama dengan susunan baru ini sebenarnya sudah tidak sesuai lagi di alaf MSC ini.
Apa salahnya Melayu Singapura lebih baik? Kenapa merasa susah hati dan dalam masa yang sama merasa hebat bila dapat menjadikan Melayu Kelantan dan Melayu Terengganu tidak baik dengan menyekat segala sumber ekonomi? Kenapa ada Melayu yang bertaraf Umnoputera dan Mahathirputera? Kenapa bahasa Melayu terus menjadi bahasa yang diperkotak-katikan?
Umno (baru) dan ketuanannya telah ditinggalkan oleh Melayu Malaysia. Melayu Baru tajaan Umno (baru) hanyalah imej-imej wayang yang boleh diulang tayang sahaja. Ceritanya sudah menjadi basi.
Melucukan untuk audien yang semakin kurang, masih juga semua ruang massa perdana diberikan kepada barisan aktor-aktor amatur berlagak profesional ini untuk menjadi badut, maka dengan sendirinya taraf Melayu Malaysia akan terus saja ketinggalan dengan Melayu bukan Malaysia!

