Pernah suatu masa sebuah perhimpunan Melayu sedunia telah diadakan di sebuah bandaraya Melayu anjuran sebuah organisasi Melayu di bawah tajaan seorang pemimpin Melayu Baru. Pernah juga diadakan perhimpunan Melayu Sedunia di beberapa bandar bukan Melayu luar negara oleh sebuah gabungan penulis nasional yang hampir semuanya Melayu, bercakap dan menulis dalam Bahasa Melayu.

Begitu besarnya agenda Melayu untuk Melayu sedunia. Tidak kira asal-usul dan status kemelayuan mereka. Tidak kira sama ada setiap selepas perhimpunan, tiada apa-apa impak, perubahan dan kemajuan selain mengadakan perhimpunan 'reunion' seumpama di tempat dan masa yang lain.

Terkini diberitakan akan diadakan sebuah perhimpunan Tidak Melayu Hilang Di Dunia di bawah Badan Bertindak Melayu (BBM). Dengan barisan pemimpin Melayu yang bertaraf 'bekas-bekas' itu dan ini.

Mereka yang bertaraf 'bekas-bekas pemimpin' ini kemungkinan mempunyai nawaitu yang ikhlas untuk mengingatkan mereka yang belum bertaraf 'bekas-bekas' tentang kesahihan hadis Melayu itu. Selama menjadi 'bekas-bekas' dengan segala 'bekas-bekas rekod dan sejarah', bekas-bekas pemimpin ini tidak mahu generasi yang mereka mem'bekas-bekaskan' masa silam dengan segala mitos atau melupakan terus mereka dari ingatan. Sekadar 'bekas-bekas' untuk diisi barang kitar semula atau sampah atau dibiarkan reput tanpa perhatian.

Kemunculan pelbagai bekas-bekas pemimpin Melayu ini untuk 'bersatu' memang dialu-alukan sekali. Sekurang-kurangnya mereka tidak sekadar menjadi 'bekas-bekas' semata-mata. Tentunya akan disokong oleh mereka yang berkokok tentang ancaman perpecahan Melayu masa kini.

Malangnya, kredibiliti para bekas pemimpin ini tidak memberangsangkan. Siapa mereka? Bekas-bekas pemimpin yang berjaya? Bekas-bekas pemimpin yang bersih daripada segala skandal rasuah dan salahlaku seks? Apakah mereka telah bersih daripada 'bekas-bekas' isu hitam dan kotor?

Sebenarnya, sekiranya kita ingin maju ke depan, kita tidak perlukan bekas-bekas pemimpin ini untuk menjadi hero kosmetik dan slapstik. Yang kita perlukan ialah reformasi menyeluruh di kepimpinan kaum Melayu, Cina, India dan negara. Kita perlukan suntikan baru yang belum 'bekas-bekas' daripada warisan bobrok.

Maka dengan sendirinya, perhimpunan yang digembur-gemburkan itu boleh saja menjadi 'Perhimpunan Tidak Hilang Bekas-bekas Pemimpin Melayu di Dunia!'