Media Malaysia bebas?
Saya belum pernah menulis untuk sebarang laman web sebelum ini tetapi rasa terpanggil untuk menjawab tulisan Ahmad Syafiq ( [#1]Dr M's still the best[/#] , Jan 31).
Sebagai seorang pengamal media di akhbar arus perdana selama lebih 20 tahun, saya beranggapan saya mungkin lebih layak bercakap mengenai kebebasan akhbar di negara ini berbanding penulis. Kecualilah kalau beliau mempunyai pengalaman lebih lama dalam bidang ini.
Saya memasuki bidang kewartawanan selepas tamat MCE (Middle Certificate Education) dan sebagai anak muda yang mentah saya mempunyai pandangan dan rasa hormat yang cukup tinggi terhadap Umno terutamanya dan para pemimpinnya.
Bagaimanapun, pengalaman dan masa mengubah semua ini.
Banyak yang boleh saya ceritakan kepada anda semua, yang berita ini semuanya tidak pernah tersiar dalam mana-mana akhbar.
Rasa hormat saya mula hilang kepada para pemimpin Umno ketika membuat liputan jamuan ulangtahun Pernas dalam tahun 1979 di mana saya melihat bagaimana seorang menteri Melayu Islam mabuk tunggang-langgang, menari dengan iringan lagu Joget Serampang Laut nyanyian Sharifah Aini manakala hadirin yang sebahagian besar bukan Islam bertepuk dan bersorak.
Walaupun saya bukan seorang Muslim yang baik, pemandangan itu membuat saya cukup terhiris dan terhina sebagai seorang Muslim.
Pada satu majlis lain, seorang menteri Melayu baru selesai merasmikan satu pertandingan ragbi. Wakil penganjur kemudian datang membawa setin bir dalam dulang dan menghulurkannya kepada beliau.
Anda tahu apa menteri Umno ini buat? Dia menoleh ke kiri dan kanan dan kemudian bertanya kepada pembawa bir: "Ada jurugambar akhbar tak di sini! Saya perlu balik ke kawasan selepas ini, takut pulak kalau gambar ini tersiar."
Saya yang ketika itu ada di belakangnya rasa macam hendak menendangnya. Celaka punya manusia, takut pada jurugambar tetapi tidak pada Tuhan. Kedua-dua menteri ini masih hidup lagi sekarang dan masih aktif dalam parti Umno.
Mungkin ramai yang berkata, ini hanya dua orang. Sebenarnya, yang lain pun lebih kurang sahaja. Banyak lagi yang boleh saya ceritakan tetapi ruang cukup terhad.
Cukup saya katakan semakin lama berkecimpung dalam bidang ini, perasaan hormat saya terhadap Umno dan para pemimpinnya semakin hilang dan sekarang ini boleh dikatakan tidak ada langsung.
Sebagai anak yang dibesarkan di Johor, negeri Umno totok, saya semasa muda kalau mendengar nama PASpun saya meluat, tetapi sejak tahun 1986 saya telah menyertai PAS dan insya'allah sehingga akhir hayat, atas kesedaran saya sendiri.
Saya sebenarnya cukup kasihan kepada penulis dan berjuta lagi rakyat Malaysia yang dalam kegelapan kerana tidak mendapat maklumat yang benar daripada saya dan rakan wartawan lain.
Di Malaysia ini, kebebasan akhbar sebenarnya hanya untuk menulis berita yang disukai oleh pengarang dan pengampu-pengampu mereka sahaja.
Ramai wartawan sebenarnya cukup tidak tahan dengan suasana ini tetapi kami terikat dengan pelbagai masalah peribadi untuk tampil ke depan.
Saya kenal ramai rakan-rakan lain yang menyertai PAS dan parti pembangkang lain atau menyokong pembangkang secara senyap kerana kami lebih tahu banyak perkara daripada rakyat biasa.
Saya cukup rasa hormat dan memandang tinggi kepada pengasas malaysiakini Steven Gan dan Premesh Chandran, serta para petugasnya yang lain atas keberanian mereka mewujudkan laman ini.
Saya dan wartawan lain yang bencikan keadaan yang wujud sekarang sebenarnya tidak mendiamkan diri tetapi mempunyai cara kami sendiri bagi membantu usaha murni anda.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.