SURAT | Dengan penuh rasa syukur dan takzim, saya selaku Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang telah bertindak pantas, penuh dedikasi dan berkorban masa dalam menangani tragedi nahas bas penuntut UPSI yang amat menyedihkan hati.
Kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Banun, Gerik ini bukan sekadar satu ujian bagi negara, tetapi juga membuktikan kecekalan, ketabahan dan keikhlasan para wira kesihatan kita.
Pada saat genting ini, staf kesihatan KKM berdiri teguh di barisan hadapan tanpa ragu, tanpa rungutan dan tanpa mengira waktu untuk memastikan nyawa dan meringankan beban mangsa serta keluarga mereka.
Kepada Pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa. Sebuah hospital daerah dengan kapasiti terhad berjaya mengendalikan 29 mangsa cedera, melakukan bedah siasat, dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang berduka.

Pengorbanan seluruh staf daripada berjaga hingga larut malam sehingga datang seawal jam 3 pagi walaupun bukan waktu bertugas adalah contoh sebenar semangat "#Kami Sedia Membantu."
Pasukan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Baling dan Hospital Taiping pula menunjukkan kerjasama padu dalam mengendalikan bedah siasat, rawatan kritikal dan pemindahan mangsa.
Anda membuktikan bahawa sistem kesihatan Malaysia mampu menghadapi situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan dan semangat profesionalisme.
Staf Pejabat Kesihatan Daerah dan Klinik Kesihatan juga memainkan peranan penting dengan sumbangan dari segi logistik, bantuan psikososial serta pemantauan pasca-trauma. Walaupun tugas ini mungkin tidak kelihatan, ia sangat bermakna bagi mangsa dan keluarga yang dilanda kesedihan.
Semangat pengorbanan tak luntur
Seperti kata Dr Adam, "Kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara."
Seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar.
Tragedi ini membuktikan bahawa semangat pengorbanan dan komitmen anda tidak pernah luntur.
Sekian, dengan penuh penghormatan dan doa.
DR MAHATHAR ABD WAHAB ketua pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
