Malaysiakini putarbelit fakta
Merujuk kepada tulisan Ng Boon Hooi, [#1] Keikhlasan Menteri Pendidikan diragui [/#] (31 Jan), saya sebagai saksi keadaan turut terpanggil untuk sama-sama berkongsi pengalaman.
Ng telah menulis seolah-olah Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad membuang buah limau mandarin dari keretanya - menunjukkan beliau bukan sahaja berkasar tetapi tidak menghormati orang tua, Lee Sang, 68.
Pada hari kejadian itu, sebilangan ibu bapa telah menunjuk perasaan di hadapan Kementerian Pendidikan kerana membantah penutupan SRJK (C) Damansara.
Kira-kira jam 1.30, saya lihat Menteri Pendidikan telah turun dari lif dan bergerak ke keretanya, sambil diiringi oleh pengawai peribadinya.
Dalam masa yang sama, pihak keselamatan telah membuat laluan kepada Menteri Pendidikan supaya beliau boleh terus ke keretanya. Tiba-tiba seorang yang agak berusia dengan sengaja telah melanggar laluan YB Menteri Pendidikan dan telah melempar sebungkus plastik yang mengandungi sesuatu ke dalam keretanya.
Pegawai peribadi Musa telah mencampak keluar bungkusan plastik itu. Dalam disiplin pegawai peribadi yang dilatih oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sesuatu yang tidak diketahui apalagi dalam keadaan orang ramai sedang berdemonstrasi, maka bungkusan itu perlu dicampak keluar.
Dalam amalan kewartawanan yang sihat, sumber mestilah dikenal pasti dan tidak memihak. Orang yang berada di tempat kejadian mestilah dirujuk terlebih dahulu dan tentunya sumber bukan seorang atau dua orang. Alangkah lebih baik, sebagai akhbar Internet yang mahu berwibawa, wartawannya menulis berdasarkan fakta dan hujah yang tidak memihak sebaliknya berdasarkan kebenaran. Jika amalan tidak beretika ini terus berleluasa di malaysiakini , maka tidak hairan jika orang ramai terus mempercayai bahawa akhbar ini ditaja oleh George Soros, spekulator matawang.
Nota Editor : Fakta-fakta ini dirujuk daripada laporan-laporan akhbar berbahasa Cina dan kemudiannya disahkan daripada beberapa sumber neutral.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.