SURAT | Malaysia wajib menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia. Ini bukan soal peribadi, tetapi melibatkan isu kedaulatan dan maruah negara.
Perlu diingat bahawa Malaysia sebagai negara tuan rumah mempunyai hak penuh untuk menolak mana-mana calon duta asing tanpa perlu memberikan sebarang sebab kepada negara yang mencalonkan.
Ini adalah hak yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Rujukan jelas - lihat Perkara 4(1) Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, yang menyatakan: “The receiving state is not obliged to give reasons to the sending state for a refusal of agrement (Negara penerima tidak wajib memberikan alasan kepada negara penghantar jika menolak calon duta.)”
Oleh itu, kerajaan berhak – dan wajib menggunakan hak ini – untuk menolak perlantikan Adams sekiranya dia mempunyai rekod, pendirian, atau kecenderungan yang boleh mengancam kepentingan negara, meresahkan rakyat, atau mencabar nilai budaya dan agama di Malaysia.
Kita tidak mahu duta yang datang dengan agenda tersembunyi, tangan bersarung sut tetapi membawa pisau di sebalik senyumannya.
Diplomasi bukan tiket untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara ini.
Kami mendesak kerajaan Malaysia menegakkan kedaulatan tanpa kompromi. Jangan biarkan pihak asing menentukan siapa yang boleh keluar masuk sebagai wakil mereka di negara kita!
HELME HANAFI ialah pembaca Malaysia kini dari Bangi, Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
