Umpan Umno untuk peneroka Felda
Beberapa hari yang lalu, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan bahawa Ketua Menteri Melaka telah memberi jaminan akan meluluskan tanah kepada peneroka Felda yang telah berpuluh tahun menanti geran hakmilik tanah yang diteroka oleh mereka, bahkan beliau bersedia menambahkan saiz tanah tersebut dengan syarat mereka semua mestilah menyertai Umno dan menyokong kerajaan.
Beliau seterusnya menyebut peneroka di tempat tersebut telah menyokong Barisan Alternatif dalam pilihanraya yang lalu berdasarkan jumlah undi yang diperolehi calon BA meningkat beratus kali ganda!
Apabila membaca berita tersebut, mata saya terbeliak dan mulut saya separuh ternganga serta nafas saya terhenti seketika.kerana saya tidak menjangka akan membaca berita sebegini di alaf baru ini.
Kalau berita ini keluar semasa Ghafar Baba menjadi Ketua Menteri dulu, tentulah ia relevan tapi di era MSC kini, saya rasa "sungguh kurang sopan" untuk Ali Rustam melakukannya.
Adakah niat beliau untuk menambah sokongan kepada Umno melalui cara ini? Orang atasan dan pemikir dalam Umno, tolonglah nasihatkan beliau, cara ini akan memakan diri. Pendekatan umpan dan ugutan tidak lagi diterimapakai dalam stail politik Malaysia kini.
Apapun, tempoh luputnya pun bukanlah lama sangat lagi, setakat 2004. Kalaulah peneroka telah sabar menunggu berpuluh tahun, apalah sangat dengan dua, tiga tahun lagi.
Tambahan pula, hakmilik tanah bukannya kepunyaan Umno Melaka, bahkan di Terengganu, apabila Umno kalah, rupanya mereka tiada tempatpun untuk buat mesyuarat agung.
Janganlah menggambarkan dirimu sebagai desperado sehingga melakukan tindakan yang sedemikian rupa. Berilah hak kepada mereka yang berhak agar kita dikenang kerana kebaikan kita dan bukan sebaliknya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.