Telah bertahun tahun kenderaan Singapura mendapat menafaat dari subsidi bahan api Malaysia. Kini dengan harga minyak yang melambung kerajaan wajib memikirkan cara untuk mengatasi masalah pembanjiran kenderaan dari negara jiran itu dan tidak hanya menuding jari kapada kenderaan dari negara jiran dari Utara sahaja.

Kita di Malaysia memang mengharapkan dollar Singapura tetapi bukan semua rakyat republik itu datang ke Malaysia untuk melancong.

Mereka ke Johor semata mata untuk membeli petrol dan terus pulang. Selain petrol, mereka juga membeli barangan kawalan yang di beri subsidi oleh kerajaan, seperti tepung, gula dan minyak masak.

Memang ada kawalan minyak di Singapura, di mana setiap keretanya mesti mengisi sekurang tiga perempat tangki sebelum di benarkan keluar dari republik, tetapi undang-undang itu kini jarang digunapakai.

Ada juga kenderaan Singapura yang mengubah suiz meter tangki minyak dengan alat kawalan jauh yang mudah di pasang di Johor Bahru dengan harga kira-kira RM150. Dengan itu, tangki kenderaan Singapura yang telah sampai ke tahap 'reserve' masih menunjukkan tiga perempat isian atau lebih.

Kenapa kerajaan tidak mengenakan kawalan dengan hanya membenarkan setiap kenderaan dari Singapura mengisi minyak selepas Kulai atau Ayer Hitam. Kenapa Singapura mendapat menafaat dari subsidi kerajaan Malaysia?