SURAT | Insiden semasa sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Perak pada 31 Ogos lalu mencetuskan kontroversi besar dan mengejutkan pelbagai pihak.

Apatah lagi apabila ia melibatkan Sultan Perak dan institusi diraja yang menjadi payung kepada perpaduan dan kestabilan negeri.

Namun, lebih mengejutkan ialah reaksi Ketua Pemuda PAS Perak merangkap Timbalan Ketua Pemuda Pas Malaysia dan Adun Manjoi, Mohd Hafez Sabri, yang tanpa berfikir panjang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung insiden tersebut.

Apa yang lebih mendukacitakan, kenyataan itu dibuat tanpa semakan fakta atau tabayyun, iaitu prinsip paling asas dalam komunikasi menurut ajaran Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat jelas menegaskan kewajiban menyemak kebenaran sesuatu berita sebelum ia disebarkan. Namun, pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam itu dengan mudah mengetepikan prinsip suci tersebut dan mencetuskan persepsi politik yang mengelirukan rakyat.

Kita tidak peduli jika kenyataan tersebut mencemar parti yang diwakili, tetapi yang menjadi isu ialah, ia sudah memberi gambaran buruk bahawa Islam dijadikan alat politik murahan.

Sedangkan, dalam budaya Islam, fitnah dianggap dosa yang sangat besar yang boleh meruntuhkan masyarakat, menghilangkan maruah insan, dan mengundang murka Allah.

Lebih membimbangkan, tindakan seorang pemimpin muda yang sepatutnya menjadi teladan kepada generasi belia akhirnya menzahirkan wajah sebenar budaya politik kebencian. Fitnah dijadikan senjata, kebenaran diketepikan, dan institusi diraja diperalatkan demi agenda politik sempit.

Itulah contoh politik tidak matang yang menjadikan rakyat keliru dan hilang kepercayaan kepada ahli politik.

Rakyat berhak menuntut tanggungjawab serta penjelasan daripada Mohd Hafez.

Permohonan maaf terbuka perlu dibuat demi membersihkan kembali nama baik institusi diraja yang terpalit dengan fitnah tersebut.

Jika tidak, tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan agar budaya fitnah tidak lagi menjadi amalan biasa dalam politik negara.

Islam mengajar kita tentang kebenaran, keadilan, dan berhemah dalam tutur kata. Malangnya, apa yang berlaku beberapa hari lalu adalah sebaliknya.

Sebagai rakyat, kita harus menolak budaya politik fitnah dan menuntut pemimpin agar kembali berpegang kepada prinsip agama, bukan sekadar slogan kosong di pentas politik.


HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah Setiausaha Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Amanah Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.