SURAT | Hentukan penularan campak sebelum terlambat
SURAT | Sebagai seorang bekas pengarah hospital, saya pernah melihat sendiri bagaimana demam campak (measles) boleh merebak begitu cepat dan membawa komplikasi serius seperti radang paru-paru dan radang otak, malah kematian.
Hari ini, Malaysia sekali lagi berdepan ancaman peningkatan kes yang membimbangkan.
Pada 2024, negara kita mencatatkan 3,791 kes demam campak, hampir dua kali ganda berbanding 2023, dengan 44 peratus melibatkan kanak-kanak bawah 5 tahun.
Jika kita leka, angka ini akan terus melonjak.
Bagi mengekang wabak ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan Kempen Imunisasi Tambahan Measles & Rubella (MR SIA) dari 4 Ogos hingga 12 Oktober ini.
Ia melibatkan semua kanak-kanak berusia antara 6 hingga 59 bulan, tanpa mengira status imunisasi atau kewarganegaraan. Vaksin ini diberi secara percuma di klinik kesihatan, fasiliti ATM terpilih dan program jangkau luar.
Kerajaan membelanjakan RM16.3 juta bagi memperoleh 1.5 juta dos vaksin MR, dengan melibatkan kos RM10.74 setiap dos di Semenanjung Malaysia, manakala RM12.43 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pelaburan besar ini membuktikan kesungguhan kerajaan mahu melindungi nyawa kanak-kanak. Namun, keberkesanannya hanya dapat dicapai jika ibu bapa memainkan peranan dengan membawa anak-anak untuk divaksin.
Vaksinasi adalah benteng utama kita. Dengan liputan melebihi 95 peratus kita mampu menghentikan rantaian jangkitan dan mengelakkan berulangnya wabak besar.
Saya merayu kepada semua ibu bapa – lindungilah anak-anak kita melalui imunisasi.
Tindakan kita hari ini akan menentukan kesihatan dan keselamatan generasi masa depan Malaysia.
Setiap suntikan menyelamatkan nyawa.
DR LINGESHWARAN R ARUNASALAM ialah anggota Dewan Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/06/1e11d265dfa6a2bb4cfb89bc5977ea4b.jpg)
