Fikirkan kebajikan pelajar
Saya ingin merujuk kepada kenyataan media oleh presiden PRM Dr Syed Husin Ali mengenai isu perpindahan murid SRJK (C) Damansara. Umum memang telah mengetahui bahawa di Malaysia adalah menjadi hak eksklusif kerajaan yang memerintah boleh membuat sesuka hati mereka jika ingin melaksanakan sesuatu perkara.
Tetapi di dalam hal ini, pihak Barisan Alternatif kenalah melihat kepada skop yang lebih luas lagi di mana sudah lebih 1,000 orang pelajar telah berpindah ke sekolah baru dan yang tinggal hanyalah 60 lebih orang pelajar yang ibubapa mereka masih lagi berdegil tidak mahu berpindah.
Tidak dinafikan kita tidak boleh menafikan hak minoriti, tetapi di dalam hal ini pelajar yang tinggal 60 lebih itu perlulah mengikut kehendak majoriti yang telah berpindah dan memulakan sessi pengajian mereka. Memang tiada harapan lagi untuk bertegang leher dengan pihak berkuasa kerana dasar-dasar yang telah termaktub secara autoritarian. Gunakanlah pendekatan memilih mudarat yang lebih ringan.
Saya tidak fikir pelajar yang berjumlah lebih 1,000 orang itu akan sanggup berpindah balik ke sekolah lama mereka, kerana semua peralatan pembelajaran telah dipindahkan. Sepatutnya pihak Biro Pendidikan BA mencari jalan bagaimana ingin membantu pelajar yang tertinggal itu. Jika mereka menghadapi masalah kewangan, bantulah mereka, bukannya dengan cara meminta kerajaan membuka semula sekolah lama mereka disebabkan oleh 60 lebih pelajar tersebut kerana ini akan lebih menyusahkan lebih 1,000 pelajar yang telah berpindah.
Biar apa sahaja motif kerajaan menutup sekolah tersebut, perkara telah terjadi. Tuntutan boleh diminta tetapi fikirkanlah kebajikan pelajar-pelajar yang tertinggal dengan belajar di tokong yang serba kekurangan. Lainlah jika ada 1,000 pelajar yang masih tinggal kita bolehlah mencuba kaedah lain.
Pendapat saya ini bukanlah untuk menafikan hak minoriti dan nilai sentimental terhadap sekolah tersebut, tetapi hendaklah dilihat kepada kebajikan pelajar yang tertinggal. Bantulah mereka kerana mereka perlu belajar di dalam keadaan yang selesa. Mereka itu terlalu kecil untuk memahami erti politik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.