Pentas PAS untuk Dr M
Kesediaan pucuk pimpinan PAS menerima pelawaan Umno untuk duduk semeja sebenarnya adalah keterbukaan para ahli PAS secara keseluruhannya. Ini kerana berbincang atau lebih popular dengan 'muzakarah' sebenarnya telah lama dipinta oleh PAS. Tetapi Umno semasa merasakan dirinya kuat sentiasa mencari alasan untuk dijadikan dalih. Sekarang ini semasa Umno mulai lemah perbincangan lebih perlu diadakan.
Sebagaimana persetujuan untuk mengadakan debat antara Umno - PAS telah dua kali disahut oleh pemimpin Umno tetapi semuanya dibatalkan dengan alasan yang direka-reka oleh Umno. Peluang yang ada ini semestinya hendaklah dimanfaatkan oleh para pemimpin PAS.
Apa yang saya katakan keterbukaan ahli PAS pada masa sekarang ini ialah disebabkan tidak adanya ugutan keluar dari PAS di peringkat bawahan ahli parti. Kalau tahun 1974 sewaktu PAS bersama Barisan Nasional, wujud sekumpulan ahli PAS yang bertanding atas nama 'Bebas Bersatu' yang diketuai oleh Mohamad Fakaruddin, pada pilihanraya umum lalu.
Tahun 1990 sewaktu kerjasama dan pakatan antara PAS dan Semangat 46, wujud sekumpulan penentang yang dikenali sebagai Islah atau PAS 51, yang dipelopori oleh beberapa orang kalangan ustaz seperti Wan Ismail Machang, Noor Idris, Mustafa Taib (kesemua sekarang ahli Umno). Selepas itu pada tahun 1999 sewaktu pakatan antara PAS dan Keadilan, segelintir ahli di Kedai Mulong membantah dan menaikan sepanduk menyatakan tidak setuju. Walaupun penentangan ahli semakin kurang, tetapi tetap ada yang tidak bersetuju kerana kebimbangan. Tidak salah ahli menaruh kebimbangan kerana PAS ini adalah milik mereka semua yang menjadi ahli.
Sekarang ini adalah masa terbaik untuk berunding dengan Umno kerana tidak ada golongan yang menentang sama ada secara terbuka atau tertutup. Tetapi ramai yang melahirkan kebimbangan agar tidak masuk Barisan Nasional untuk kali kedua.
Sebenarnya ramai ahli yang faham. Sewaktu Dr Mahathir Mohamad disingkirkan dari Umno oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Mahathir mengilap namanya melalui pentas ceramah PAS. Pentas PAS terpaksa dinaikki oleh Mahathir untuk membaikpulih imejnya yang sedang pudar ketika itu.
Sekarang ini, semaktu imej Mahathir sedang merosot, sekali lagi PAS digunakan. Kalau sewaktu hendak naik dahulu Mahathir gunakan pentas PAS, apa salahnya sewaktu hendak turun ini beliau gunakan pentas PAS untuk kali kedua? Berikan masa untuk beliau membersihkan diri melalui PAS yang telah banyak beliau calitkan imej buruk.

