Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Pemuda Bersatu (Armada) Dungun berdiri teguh menyokong kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Saifuddin Abdullah.

Beliau menyeru agar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menimbang langkah untuk berehat demi transisi kepimpinan untuk kelangsungan perjuangan parti.

Kami menghormati pandangan beliau yang berteraskan pengalaman luas sebagai ahli parlimen dan anggota MPT parti.

Suara beliau bukan sekadar pandangan peribadi, tetapi cerminan keresahan dan keprihatinan akar umbi yang turut dikongsi oleh beberapa ketua bahagian, termasuk Dungun.

Sebagai sayap muda yang berteraskan semangat demokrasi, Pemuda Bersatu Dungun menghargai setiap pandangan dan saranan yang dizahirkan kerana daripada suara akar umbi inilah lahir kekuatan untuk memperkukuh parti, mematangkan perjuangan, dan mempersiapkan barisan kepimpinan menghadapi cabaran masa depan dengan tekad yang lebih jitu.

Setiap pandangan wajar diraikan dan dibincangkan secara musyawarah, bukan dihukum dengan tindakan terburu-buru terhadap mereka yang berani bersuara.

Pemuda Bersatu Dungun menyeru parti bersikap terbuka terhadap perbincangan yang matang demi memperkukuh organisasi serta memperteguh matlamat bersama.

Perbezaan pandangan bukan alasan untuk menggantung atau memecat ahli, sebaliknya ia tanda kematangan politik dan kekuatan sesebuah perjuangan.

Akhir kata, kami teguh berpegang pada prinsip keterbukaan dan keikhlasan perjuangan untuk terus melangkah seiring dalam semangat muafakat demi mengangkat martabat parti menuju masa depan yang lebih gemilang.


SYAHIR AMMAR SAZELY ialah ketua Pemuda Bersatu Dungun, Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS