Mengata dulang paku serpih
Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menyiarkan 'berita' kononnya laman web berita malaysiakini dibiayai oleh pedagang wang George Soros, sungguhpun tuduhan itu dibuat tanpa asas dan bukti. Kredibiliti malaysiakini dimomokkan, kononnya laman web itu hanya satu daripada puluhan 'agen asing' yang diwar-warkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai alat pemusnah 'kejayaan Malaysia' ciptaannya itu.
Bagi kami yang menuntut di luar negara, malaysiakini cukup penting sebagai serana penyebaran berita yang adil dan tidak berat sebelah. Bernama sukar untuk dipercayai kerana terbukti cenderung kepada arahan tuanpunyanya iaitu Datuk Abdul Kadir Jasin (bekas ketua pengarang NST yang dilantik oleh Tun Daim Zainuddin) dan Datuk Jalaluddin (bekas setiausaha akhbar Dr Mahathir sendiri). Begitu juga laman web yang dikelolai oleh akhbar rasmi di Malaysia yang rata-rata cuma menyiarkan sampah propaganda kerajaan sahaja.
Keperluan melayari malaysiakini bertambah kerana Harakah.com dan lain-lain laman kelolaan parti Barisan Alternatif juga tidak lebih daripada suara rasmi parti-parti tersebut. Sebelum ini, para pelajar turut melayari [#1] Agenda Malaysia [/#] tetapi akhbar maya itu 'bungkus' dan tidak bermaya lagi.
Pokoknya malaysiakini memainkan peranan yang cukup penting kepada generasi moden pelajar Malaysia yang dahagakan berita yang tidak berbelah bahagi. Secara peribadi, kami sukar mempercayai bahawa kononnya malaysiakini menyebelah pihak pembangkang.
Ini kerana malaysiakini mempunyai barisan kolumnis yang cukup kritikal terhadap Barisan Alternatif termasuk M Bakri Musa (anti-PAS), Fathi Aris Omar (anti laman web Reformasi yang dikatakannya tidak professional), Dr Kua Kia Soong (anti DAP terutama Lim Kit Siang), Dr Farish A Noor (anti fundamentalis dan kadang-kala cukup kritikal terhadap Anwar Ibrahim) dan tidak ketinggalan Datuk Hishammuddin Hussein (Ketua Pemuda Umno yang sudah tentunya anti Barisan Alternatif, tidak begitu Datuk?)
Tetapi, pada pihak media kerajaan pula berapa ruang yang diberi kepada golongan Barisan Alternatif? Sejanggut udang pun tidak ada! Beberapa kali kenyataan Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dipesongkan oleh Berita Harian dan Utusan Malaysia dalam edisi maya mereka hinggakan menimbulkan syak wasangka sama ada kedua-dua tokoh ini benar-benar menuturi perkataan sedemikian yang sepatutnya tidak mencelok dari mulut para ulamak.
Malaysiakini tidak pernah menafikan bahawa mereka dibiayai oleh suatu NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang memperjuangkan kebebasan akhbar di Asia. Begitu juga Ketua Editornya Steven Gan tidak pernah menafikan beliau pernah bekerja dengan The Sun , satu judul akhbar yang dulunya sedikit kritikal tetapi kini menikus terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, RTM, TV3 dan akhbar rasmi selalu sangat menidakkan bahawa mereka didalangi oleh Umno, MCA, MIC dan sekutu-sekutunya dalam Barisan Nasional hinggakan rakyat sudah langsung menolak kredibiliti mereka.
Dahulu Umno mengalu-alukan kewujudan malaysiakini seperti yang dapat dilihat dengan penglibatan Datuk Hishammuddin Hussein dan Khairi Jamaluddin (setiausaha akhbar Datuk Seri Abdullah Badawi) yang turut menggunakan akhbar maya itu sebagai pentas publisiti murahan mereka. Tetapi kini mereka sedar bahawa pembohongan mereka itu begitu telus hinggakan tiada rakyat yang terpedaya.
Pembaca malaysiakini bukannya terdiri daripada golongan kolot dan daif ilmu. Malah, tidak boleh disangkal lagi pembaca akhbar maya ini kemungkinan besar golongan berpendapatan tinggi dan berkelulusan tinggi, terutama dari kelas menengah dan menengah atas. Hanya golongan ini sahaja yang sebenarnya mampu melayari jaringan web.
Kerajaan dan media kepunyaannya mungkin mampu mengaburi golongan yang tidak mampu mendapatkan capaian web, tetapi golongan menengah sudahpun tersedar dari lamunan dan menolak secara logik dan berasas propaganda kerajaan.
Sambil meniru Gestapo, RTM dan TV3 cuba mengaitkan pendokong malaysiakini dengan para partisan Barisan Alternatif. Sebenarnya, puak PAS, Keadilan, PRM dan DAP sendiri memang banyak menyerang malaysiakini kerana mengkritik mereka melalui penulis-penulis seperti yang disebut di atas.
Dengan bukti-bukti ini adakah wajar malaysiakini dikritik sebagai alat penyangak matawang asing atau pihak Barisan Alternatif? Tepuk dada tanyalah selera.
Mungkin benar jika malaysiakini dianggap elitis kerana banyak menyiarkan pojok dan berita dalam bahasa Inggeris, selain mendewa-dewakan fahaman liberal yang agak janggal dengan majoriti rakyat Malaysia - tetapi cukup nyata bahawa tuduhan bahawa akhbar maya itu berat sebelah terhasil daripada minda yang cukup bengong dan terpesong!

