Memacu kebangkitan rakyat
Nampaknya negara kita melalui satu lagi fasa yang bakal merubah suasana dan senario politik tanahair. Tidak banyak peristiwa besar sejak kemerdekaan 50 tahun lalu yang boleh menggoncang dan menggangu gugat kedudukan parti yang memerintah. Maka beradalah mereka di singgahsana politik untuk sekian lamanya. Merubah kedudukan ini bererti berhadapan dengan satu situasi baru yang dikatakan penuh ketidakstabilan, malah tidak mampu untuk setanding, apatah lagi membawa altenatif yang lebih baik. Apakah ini benar?
Hakikatnya, kerajaan Barisan Nasional yang dikira antara yang paling lemah sekarang ini, berhadapan dengan pelbagai isu dan malapetaka akibat kerakusan pangkat dan harta pemimpin di kalangan mereka. Dengan kesombongan dan keangkuhan, mereka melawan arus kebangkitan rakyat yang bukan sekadar menginginkan penjelasan, malah menuntut perubahan.
Maka negara kita bolehlah dikatakan sedang melalui fasa peralihan kuasa daripada pihak yang memegang kuasa eksekutif dengan cara gelojoh dan diktator, kepada kuasa rakyat yang menuntut hak mereka.
Bukan sekadar hak untuk bersuara dan memprotes kenaikan harga barang, rakyat dihadapkan dengan polis dan segala macam senjata serta cubaan menguasai minda melalui saluran media, malahan proses di mana rakyat menuntut hak untuk membersihkan perjalanan pilihanraya, juga berhadapan dengan segala tentangan. Apa lagi yang tinggal pada mereka?
Siapa lagi yang sanggup membetulkan salahguna kuasa di pihak parti memerintah sekiranya bukan di kalangan orang politik. Mereka yang berkesedaran tidak tergamak untuk mendiamkan diri bila satu demi satu persoalan tidak terjawab dan bila kesedaran dan kesungguhan mereka, dianggap agenda politik murahan.
Bila Dewan Rakyat tidak lagi menjadi tempat untuk membawa suara rakyat, maka bersenanghatilah mereka di pihak kerajaan dengan sikap acuh tak acuh mereka. Teguran dari pihak penyokong kerajaan sendiri tidak berbekas mana. Terkini, sekali lagi pengerusinya menegur kegagalan wakil kerajaan untuk hadir menjawab isu yang dibangkitkan.
Rakyat boleh menghitung berapa kali Perdana Menteri menghadiri sidang Parlimen berbanding dengan lawatannya ke luar negara. Bandinglah dengan negara-negara membangun seperti United Kingdom yang begitu bersungguh-sungguh dan membina perbincangan dan lontaran idea mereka. Bila suasana dewan tidak berisi dan dihormati, maka terjadilah apa yang tidak sepatutnya terjadi.
Bila pihak yang belum memerintah pun disogokkan dengan rasa sudah hampir pasti untuk mereka megambil alih pemerintahan seperti yang berlaku di Kelantan dalam waktu terdekat ini, maka lihatlah natijahnya. Itu belum lagi berada dalam suasana memerintah, mungkin lebih parah lagi jadinya. Mungkin lebih daripada kaki dan penumbuk yang menjadi modal.
Hakikatnya, negara kita yang sedang mengalami proses memandulkan hak dan minda rakyat oleh kerajaan Barisan Nasional, tetapi yang dituduh adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menyekat hak rakyat dengan ugutan dan undang-undang merupakan satu tindakan terdesak. Moga rakyat terus menerus menjejaki hak mereka walaupun terpaksa melalui jalan-jalan yang sengaja ditimbus.
Harapkan pagar, pagar makan padi
Harapkan demokrasi segar, segar sebelum bersemadi

