Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Pemuda Amanah Kepala Batas menyatakan sokongan penuh terhadap usul yang diluluskan dalam Konvensyen Nasional Amanah baru-baru ini, khususnya berkaitan penstrukturan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berasaskan kos sara hidup setempat.

Langkah itu membuktikan bahawa Amanah ialah parti yang berfikiran jauh, matang dan benar-benar berpihak kepada marhaen.

Penilaian STR secara pukal tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Cadangan membangunkan model zonifikasi STR yang mengambil kira pendapatan median, indeks harga pengguna (CPI) dan kos keperluan asas tempatan merupakan langkah adil dan realistik dalam memahami tekanan ekonomi rakyat hari ini.

Walaupun terdapat sedikit kekecohan dan perbezaan pandangan dalam konvensyen, Amanah kekal menunjukkan kematangan politik yang tinggi.

Parti ini terus hidup dalam arus perdana realiti politik semasa — peduli, berani dan berprinsip dalam memperjuangkan dasar yang menyentuh kepentingan rakyat.

Selain isu STR, konvensyen turut meluluskan dua usul penting yang mencerminkan keberanian dan idealisme parti.

Pertama, mengkaji semula sistem pilihan raya first past the post (FPTP) yang semakin tidak seimbang, dan menilai pelaksanaan sistem proportional representation (PR) yang lebih adil serta mencerminkan undi sebenar rakyat di seluruh negara.

Sistem PR menjamin setiap undi dikira dan diwakili, sekali gus menggalakkan politik nilai serta kerjasama antara parti.

Kedua, menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkaitan kecerdasan buatan dan integriti digital bagi melindungi hak cipta, hak personaliti dan kandungan peribadi rakyat daripada penyalahgunaan teknologi seperti deepfake, manipulasi imej dan jenayah siber.

Ini adalah langkah penting ke arah memastikan kemajuan teknologi berkembang seiring dengan etika dan tanggungjawab sosial.

Usul-usul itu membuktikan bahawa Amanah bukan sekadar melaungkan slogan rahmah, tetapi benar-benar menghidupkan nilai tersebut melalui dasar yang berasaskan ilmu, keberanian dan keinsafan terhadap nasib rakyat.


ABRAR SADIQ ialah ketua Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS