Nampak jelas Fahri Azzat menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta mempertikaikan cara jabatan ini melaksanakan tugas ([#1] Religious raid discredits Islam [/#], Feb 17). Penulis juga nampak benar tidak memahami peraturan yang telah digariskan oleh Islam mengenai hubungan pasangan lelaki dengan perempuan yang belum bernikah.

Terlebih dahulu, ingin saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Jais kerana telah berjaya membanteras maksiat lebih-lebih lagi pada malam sambutan hari Kekasih (Valentine's Day) baru-baru ini. Saya pasti Jais akan melakukan lebih banyak serbuan dalam usaha membanteras maksiat serta mengelakkan kehamilan hasil hubungan luar nikah. Bersyukur kita kepada Allah SWT dan tahniah sekali lagi kepada Jais.

Menangkap pasangan-pasangan Islam yang berkhalwat adalah tugas Jais. Langkah Jais perlu kita puji. Tindakan menangkap pasangan-pasangan Islam yang berkhalwat pada malam Hari Kekasih lebih-lebih lagi perlu dipuji. Tindakan ini bukan saja boleh diumpamakan seperti killing two birds with one stone (sambil menyelam, minum air), malah lebih dari itu. Ia bukan sekadar mencegah maksiat khalwat, tetapi juga dapat membuktikan beberapa perkara, bahawa Jais mempunyai kuasa untuk menahan mereka yang bersalah, bahawa Jais berani menegakkan keadilan, bahawa kelonggaran tidak diberikan pada Hari Kekasih; bahawa sambutan hari itu tidak terdapat dalam ajaran Islam; dan bahawa Hari Kekasih bukan hari cuti bagi pegawai-pegawai Jais!

Adakah perlu kita mempersoalkan tempat serbuan ini dibuat? Apakah alasan kita untuk mempertikaikan hal ini? Bukankah kita perlu bersyukur kerana pada malam berkenaan sahaja seramai 208 pasangan telah diselamatkan daripada keterlanjuran; daripada melakukan sebarang perbuatan sumbang; daripada melanggar hukum Allah dan peraturan-Nya?

Bukankah kita patut bersyukur kerana mungkin di kalangan mereka yang ditangkap ini, ada saudara-mara atau kenalan kita yang telah diselamatkan daripada penyesalan di kemudian hari? Kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana barangkali Jais telah berjaya menyelamatkan anak-anak gadis yang terlibat dalam serbuan tersebut daripada dipergunakan oleh teman-teman lelaki hanya kerana Hari Kekasih.

Kita mestilah sedar dan sentiasa beringat bahawa berdua-duaan dengan lelaki atau wanita yang bukan Muhrim (yang halal bernikah) adalah dilarang oleh Islam. Berdua-duaan boleh membawa kepada perbuatan zina. Al-Quran memberi amaran; "Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah (17:32) dan Allah SWT menerangkan; "Perempuan dan laki-laki yang berzina, deralah keduanya, masing-masing seratus kali dera." (24:2)

Adakah kita perlu mempersoalkan amaran Allah yang begitu ringkas ini? Apakah helah kita lagi untuk tidak mematuhi ayat di atas? Atau untuk turut membantu mencegah perzinaan? Adakah kita cuba jadikan Hari Kekasih sebagai alasan untuk kita mendapat kelonggaran daripada peraturan Allah?

Walau apapun tujuan seseorang lelaki atau wanita berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang tersembunyi daripada khalayak ramai, perbuatan ini dilarang dalam Islam. Dan pada malam Hari Kekasih yang sememangnya menggalakkan romance dan intimacy di kalangan mereka yang sedang bercinta, saya yakin ramai di kalangan mereka tidak hanya saling berukar-tukar idea antara satu sama lain, malah melakukan lebih daripada yang dihalalkan oleh Allah.

Apakah wujud ' night of promised romance and intimacy ' bagi pasangan-pasangan yang belum berkahwin? Tidak sama sekali dalam Islam. Tidak wujud romance dan intimacy apabila berdua-duaan seperti yang diinginkan oleh pasangan-pasangan belum bernikah. Berdosa bagi mereka yang berbuat demikian. Pihak berkuasa berhak menangkap mereka yang terlibat kerana berkhalwat dilarang oleh Islam.

Saya yakin bahawa Jais tidak memilih sasaran mengikut pangkat, darjat atau pendapatan mereka yang terlibat. Pasti Jais bertindak mengikut pertimbangan mereka yang terbaik pada malam tersebut dan menyerbu tempat-tempat yang dianggap pusat kegiatan maksiat.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat menegakkan keadilan, menjadi saksi kebenaran kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapamu atau kerabatmu; baik orang kaya atau miskin, kerana Allah dekat kepada keduanya. Sebab itu janganlah kamu turutkan kemahuan yang rendah (hawa nafsu) untuk tidak berlaku adil. Kalau kamu berputar atau tidak mahu menurut, sesungguhnya Allah itu tahu benar apa yang kamu kerjakan." (4:135)

Jika ada yang memilih bulu, kira serahkan kepada Allah. Hanya kita berharap, Jais akan terus mengambil langkah-langkah tegas seperti ini dalam usaha mencegah kemungkaran.

Marilah kita sama-sama mendalami Islam supaya ajaran-ajarannya dapat kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Janganlah kita mencari salah pihak yang berusaha menegakkan kedaulatan Islam hanya kerana kita hanyut dibawa arus budaya lain yang bertentangan dengan agama ini. Bukankah perbuatan sumbang ini sebenarnya yang menghina Islam?