Umno seperti lazimnya menggunakan harta kerajaan untuk kepentingannya sendiri dengan menghentam dan membuat andaian yang amat terpesong melalui semua media di bawah kawalannya seperti RTM dan media massa yang lain selepas sahaja gagalnya pertemuan Umno/PAS baru-baru ini. PAS yang 'handicap' kerana tiada kawalan media yang luas sebegini kelihatan sebagai dipersalahkan secara menyeluruh tanpa diberi kesempatan untuk membuat penyelasan di sebalik penangguhan pertemuan tersebut.
PAS wajib diberi ruang dalam media massa yang luas di bawah kawalan kerajaan kalau Umno benar-benar ikhlas dan tidak mempunyai muslihat yang tersirat di sebalik hasratnya yang beria-ia sungguh untuk mengadakan pertemuan ini.. Dengan berbuat demikian PAS akan mempunyai peluang untuk memperjelaskan apa yang perlu dijelaskan berhubung kait dengan perumpaan ini dan Umno tidak dibiarkan secara membabi-buta memesongkan semua perihal perjumpaan ini.
Saya mencadangkan supaya PAS meminta konsesi masa dalam ruang media massa di bawah kawalan kerajaan yakni RTM dan memberi penjelasan sebelum, semasa dan selepas perjumpaan yang bakal diadakan ini sebagai satu syarat penting. Kalau tidak PAS akan terus menjadi scapegoat dan akan diperbodohkan oleh Umno. Saya fikir semua syarat PAS yang disenaraikan itu memang sesuai dijadikan agenda dalam pertemuan nanti.
