Serangan TV3 terhadap PAS
Akhir-akhir ini kita melihat serangan kepada PAS semakin menjadi-jadi terutama selepas parti itu memilih untuk menangguhkan pertemuan dengan Umno pada 19 Februari lalu.
Saya terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan berkaitan isu panas itu yang banyak digembar-gemburkan oleh media massa kerajaan. Ulasan-ulasan dalam media elektronik akhir-akhir ini menampakkan sikap 'melampau' pengamal media itu terhadap parti-parti pembangkang.
Kita terkejut dengan laporan TV3 dalam Buletin Utama 21 Februari lalu yang menyebutkan PAS hanya menghantar surat pembatalan dengan cara menyelitkannya di bawah pintu sedangkan surat tersebut sebenarnya dihantar dengan tangan kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob melalui pegawainya.
Saya bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung PAS untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen TV swasta itu.
Pada malam yang sama, stesen TV itu juga kelihatan cuba merendahkan kredibiliti Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, dengan melaporkan bahawa beliau terpaksa tunduk kepada golongan radikal atau ektremis dalam parti itu yang tidak bersetuju dengan pertemuan ini walau punca penangguhan tersebut telah dijelaskan oleh Fadzil seperti disiarkan dalam berita jam 7 pagi TV1 pada 20 Februari.
Saya berterima kasih kepada RTM1 yang bersedia menyiarkan kenyataan Fadzil yang difikirkan dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul.
Jika kita ingin juga menerima ulasan TV3 itu, maka ia akan menampakkan kehebatan PAS kerana jelas membuktikan parti itu membuat keputusan berdasarkan semangat permuafakatan ahli-ahli majlis mesyuarat; tidak seperti mana Umno yang bersifat one man show . Jika Numero Uno -nya mengatakan A, semuanya akan turut berkata A.
Nampaknya terdapat usaha untuk melaga-lagakan pemimpin tertinggi PAS - antara Fadzil, Menteri Besar Kelantan, Menteri Besar Terengganu dan juga kepimpinan Dewan Pemuda.
Saya turut berasa terkejut apabila pada malam yang sama, TV3 turut menyiarkan wawancara dan komentar dengan 'pakar rujuk' dalam bahagian agama, Astora Jabat. Ulasan ini ekoran pendedahan yang dibuat Mufti Terengganu dalam program ' Sehari Bersama Ulamak ' di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) akhir tahun lalu bahawa mesyuarat mufti-mufti di Sabah pernah mempertikaikan ruangan yang diberikan oleh Utusan Malaysia kepada Astora.
Ada pihak berpendapat terdapat idea dan ulasan Astora yang tidak selari dengan ajaran Islam yang difahami selama ini. Namun kita melihat ruangan tersebut masih kekal hingga hari ini. Malah beliau diberikan ruangan yang lebih luas untuk mengemukakan pandangannya.
Saya berpandangan Umno hari ini lebih rela orang Melayu tidak memahami keadaan politik dan agama mereka jika memberikan pulangan yang baik kepada politik parti itu. Beberapa penulis, pertubuhan dan pandangan yang mendorong kekeliruan tentang hal itu masih diberikan tempat oleh Umno - sama ada dalam laman web rasmi parti itu dan media massa.
Sebagai seorang ahli PAS, saya berasa dukacita dengan tindakan polis yang masih terus mengganggu ceramah-ceramah Barisan Alternatif di Sabak Bernam, Selangor dan Kubang Pasu, Kedah dengan menggunakan kekasaran. Ini adalah suatu tindakan yang sungguh tidak bertamadun!
Insiden-insiden yang berlaku ini membuktikan sekarang Umno begitu terdesak kerana masalah perpecahan dalaman parti itu dan juga penolakan orang Melayu yang tidak lagi menaruh kepercayaan terhadapnya.
Saya yakin pertemuan antara Umno dan PAS hanya ditangguhkan oleh PAS tetapi akan dibatalkan kemudiannya oleh Umno.
'Takkan Islam hilang di dunia.'


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.