Isu yang paling hangat kini ialah mengenai keputusan kerajaan Selangor untuk menaikkan tarif air bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan memberi notis yang sangat singkat disertai dengan justifikasi biasa iaitu tarif telah tidak dinaikkan sekian lama dan kos memberi bekalan telah meningkat dengan begitu drastik sekali. Lalu diberilah jaminan kononnya selepas ini, mutu bekalan air akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi.

Semua orang tahu bahawa mutu air yang dibekalkan hari ini adalah di bawah par. Jika sesiapa teringin meniru lagak dari filem barat di mana pelakonnya meminum air terus dari paip, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan dijangkiti berbagai jenis penyakit!

Sangat menghairankan apabila ada 'pakar' yang menyatakan bahawa satu cara berkesan untuk mengurangkan penggunaan air ialah melalui kenaikan tarif. Kalaulah nasihat 'pakar' ini diterimapakai, maka para peniaga makanan akan menaikkan harga supaya orang akan kurang makan, TNB akan menaikkan tarif elektrik agar penggunaannya akan dapat dikurangkan, Intrakota akan menaikkan tambang bagi mengurangkan penumpang dan peniaga petrol akan menaikkan harga supaya boleh mengawal pembaziran petrol. Ini adalah satu teori yang tidak bersandar dengan fakta.

Air, seperti mana makanan dan petrol bagi kenderaan, adalah perkara asas yang diperlukan oleh semua orang tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, semuanya memerlukan air dalam menguruskan kehidupan seharian. Tanahair ini dilimpahi dengan hujan yang kadangkala melebihi kemampuan bumi untuk menerimanya, tetapi apa yang berlaku ialah kita selalu menghadapi masalah bekalan air yang terputus.

Yang ironinya, tiada air di rumah sedang di luar air hujan mencurah. Mengapakah rakyat dibebani dengan kenaikan merata pelbagai benda sehingga kenaikan gaji 10 peratus kakitangan kerajaan yang diwar-warkan ke pelusuk negara menjadi seolah-olah tiada nilainya lagi? Yang paling dibimbangi ialah yang bakal mengikuti kenaikan harga air ini nanti ialah air mata rakyat yang dipinggirkan selepas pilihanraya.