Cegah salahguna logo Halal
Beberapa tahun yang lalu, kita dikejutkan dengan senarai 54 jenis nama barangan dan produk yang didakwa sebagai bahan yang haram untuk dimakan dan digunakan oleh umat-umat Islam. Alasannya ia dikatakan mengandungi bahan-bahan campuran lemak babi atau tulang babi, alkohol serta barangan yang mengandungi najis.
Mendengarkan berita tersebut orang ramai khususnya di kalangan orang-orang Islam gempar dan terkejut kerana selama ini mereka memakan bahan-bahan yang didakwa haram. Bagi orang-orang Islam, isu halal dan haram ini adalah suatu perkara yang sensitif dan mereka ragu-ragu untuk memakan dan menggunakannya kerana tidak ingin terjebak ke kancah yang haram.
Namun kita merasa lega kerana, dari kenyataan dan penjelasan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Brig Jen (B) Datuk Abdul Hamid Haji Zainal Abidin yang disebarkan melalui laman web Jakim bahawa, isu tersebut adalah dakwaan yang tidak berasas dan tidak mempunyai fakta-fakta yang benar oleh pihak-pihak tertentu. Hasil penelitian dan penyelidikan pihak Jakim mendapati pihak-pihak yang cuba menimbulkan isu tersebut sebenarnya tidak wujud dan barangan makanan yang dikatakan haram itu sebenarnya halal untuk dimakan dan digunakan oleh orang-orang Islam.
Berikutan dengan penjelasan tersebut, persoalan haram telahpun selesai dan orang ramai tidak lagi bimbang dengan pelbagai dakyah yang dilemparkan ke atas umat-umat Islam bersabit dengan makanan dan minuman.
Tetapi sejak akhir-akhir ini timbul pula persoalan tanda logo halal Jakim yang dikatakan begitu bebas digunakan terhadap makanan orang-orang Islam dan sijil halal yang sepatutnya diperbaharui setiap tahun oleh pengusaha-pengusaha makanan didapati telah luput.
Adakah wajar kita menyalahkan pihak pengusaha makanan kerana tidak mematuhi undang-undang pemakanan halal? Atau berpunca dari kelemahan pihak Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk membuat tindakan susulan secara lebih kerap bagi membendung sikap segelintir pengusaha-pengusaha makanan mengaut untung dari kelemahan pihak kerajaan?
Persoalan tanda logo halal ini sebenarnya dikuatkuasakan melalui Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 serta Perintah Dagangan (Penandaan Makanan) 1975. Walau bagaimanapun, dari tinjauan mendapati masih ada tanda logo halal lama yang tidak diperbaharui walaupun keadaan pasaran hari ini telah jauh berubah.
Dalam konteks ini, pihak Jakim disarankan supaya tanda logo halal yang lama itu perlu diubah atau ditukar kepada 'format' yang baru iaitu dengan mencatatkan tarikh, nama pegawai dan nombor siri pemeriksaan untuk memudahkan para pengguna Islam khususnya mengenalpasti bahawa makanan dan barangan kegunaan harian itu benar-benar terjamin dan disahkan halal di samping untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna sendiri.

