Sesungguhnya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Isu yang paling hangat dibincangkan ialah persoalan perpaduan Melayu Malaysia.

PAS telah mencanangkan perpaduan nasional dan Umno telah menerimanya. Namun demikian ianya telah ditangguhkan kerana menuggu reaksi dari Umno supaya menyediakan suasana yang betul-betul kondusif bagi melancarkan perbincangan.

Kami rakyat benar-benar berharap agar perbincangan itu akan mendapat kata sepakat daripada kedua-dua pihak berkenaan masa depan Malaysia amnya dan masa depan Melayu khasnya. Kedua-duanya diharapkan dapat menyegerakan pelan tindakan dan bukan sekadar debat retorik sahaja, sememangnya kepentingan politik adalah matlamat tetapi ia sepatutnya pada masa ini bukan keutamaan, ia boleh dicapai dalam pilihanraya umum akan datang.

Perpecahan yang kita lihat di negara kita ini tidaklah meruncing sepertimana yang berlaku di negara umat islam yang lain, sehingga adakalanya membawa kepada peperangan saudara. Kita perlu banyak belajar dari pengalaman lalu dan merujuk kepada sejarah silam yang jelas memperlihatkan padah persengkataan.

Perlu disedari umum bahawasanya, perbezaan pendapat atau ikhtilaf adalah perkara lumrah kerana manusia berbeza corak pemikiran dan yang pasti dapat menyatukan pemikiran ini ialah pemimpin yang bijak, taat kepada Allah di bawah panji Islam dan tauhid yang sejati.

Kami tidak mahu perkara tersebut berulang kembali, kerana kami mahukan kehidupan yang aman tenteram di bawah pemerintahan berdasarkan wahyu ilahi. Setiap pihak harus menyedari kelemahan masing-masing dan cuba memperbaiki, dan saling menasihati dengan cara yang berhikmah. Kami mahu melihat tamadun Melayu menjadi contoh kepada kaum lain sepertimana tamadun yang dibina oleh orang Cina.

Kita janganlah bersikap terlalu sentimental terhadap fahaman, kerana kita akan dituduh syok sendiri sehingga matahati kita tertutup terhadap pandangan orang lain yang mungkin lebih rajih (kukuh).

Kalau kita mahu berjaya di dunia ini, kita harus berpandangan jauh, bukan mengejar kekayaan materialisme sahaja atau sebaliknya, kerana apa yang penting ialah keseimbangan di antara dunia dan akhirat. Kehidupan di akhirat itulah yang pasti kekal. Ini harus kita jelaskan kepada bukan Islam kerana mesej tidak akan sampai bila-bila kalau kita asyik syok sendiri dan bertelagah, menyalahkan antara satu sama lain tanpa memberi panduan yang sebenar.

Kami rakyat Malaysia dahagakan kebenaran, ketulusan, dan kemurahan hati. Semua orang Melayu mesti menjaga maruah Islam sebaiknya agar kita dihormati dan bukan dikeji sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Mungkin dalam diam, orang bukan Melayu/Islam selaku pemerhati mengetawakan gelagat sentimental Melayu yang tidak pernah selesai, mereka kini kita lihat lebih bersatu dari kita bangsa pribumi. Orang Cina nampaknya lebih suka berterus-terang berbanding Melayu contohnya isu Suqiu, sekolah wawasan, dan lain lain yang tidak bermotifkan politik asalnya walaupun isu itu mungkin boleh dipertikaikan kebenarannya.

Sasaran kita sebenarnya ialah kehidupan anak dan cucu kita selepas kita mati kelak. Kita tak mahu diketawakan kerana tercatat dalam buku sejarah Malaysia disebabkan pertelagahan orang Melayu/Islam dalam berbagai isu kuasa, politik, hak, undang-undang, perbezaan politik, agama, bangsa, dan sebagainya. Tidakkah ini merunsingkan?

Kita mesti bersyukur kepada Allah kerana bertanahair merdeka dan majoriti adalah umat Islam. Cara membuktikan syukur ialah mendaulatkan Islam dan saling berganding bahu sepertimana banyak diungkapkan dalam pepatah Melayu: bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat; sepakat membawa berkat; ataupun berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Apa yang penting iala kedua-dua pihak mesti mencari titik pertemuan sepertimana berlaku pada perjanjian Hudaibiyyah, Titik pertemuan ialah keamanan negeri, bukan persengkataan. Tidak mustahil kalau Malaysia tiada parti politik pada masa akan datang sepertimana Brunei Darussalam? Rajanya warak memiliki kuasa penuh dan pemimpin rakyat membantunya mentadbir negara. Kita masih banyak agenda yang perlu dilaksanakan, sementara masalah diselesaikan bersama.