Tiadakah rasa bersyukur kepada pemimpin?
Malaysiakini mendakwa ia media independen, tetapi laporannya semua memburuk-burukan kerajaan. Tiadakah sebarang rasa penghargaan kepada pemimpin negara yang tidak tidur malam bersengkang mata, berjaga setiap waktu ketika ekonomi gawat dahulu, meneliti pergerakan indeks ekonomi negara yang dimusnahkan oleh sahabat-sahabat malaysiakini ? Penajanya?
Memang malaysiakini tidak punya rasa kerana telah dibeli. Dibeli! Murahnya harga diri mereka. Serendah itu mereka meletakan harga diri kepada negara tercinta ini.
Binatang pun tidak akan membakar tempat tidurnya sendiri tetapi malaysiakini lebih teruk daripada binatang kerana bukan sahaja ia merosakkan tempat tidur ia sendiri tetapi tempat tidur kami, tempat makan kami dan tempat permainan kami.
Soros yang menaja mereka dan mereka mengangguk. Mereka kata mereka tidak ada kaitan dengan Soros itu tetapi mereka sebenarnya adalah abdinya. Kenapa kejahatan Soros tidak mereka dedahkan dan buatkan rancangan bersiri? Bagaimana dengan kekayaan yang dia perolehi daripada Asia?
Soros mampu membeli seribu hekta ladang di Argentina. Jelaskanlah hal itu kepada dunia. Manusia yang banyak berjasa kepada negara, malaysiakini cari segala macam kesalahan walaupun sebesar hama tetapi dijadikannya sebesar gajah. Tidakkah ada perasaan bersalah?
Saya sayangkan negara ini. Saya cinta akan negara ini. Tidakkah malaysiakini terpanggil untuk menitiskan secalit tita untuk memberi sebarang perhargaan kepada apa yang telah kerajaan lakukan untuk mereka? Walaupun sebaris ayat? Bermimpilah kami sekiranya mereka berbuat demikian kerana wang di kepala mereka, Soros di dada mereka, nafsu di saluran darah daging mereka membuat mereka buta dengan apa yang dibina, dibuat dan dilaksanakan oleh kerajaan.
Kalaulah mereka diberi kekuasaan untuk memerintah negara ini, jangankan tanggungjawab yang dipikul oleh perdana menteri mereka tidak terangkat, tetapi sebiji pasir pun mereka tidak akan terdukung. Sebarang projek yang dibuat oleh kerajaan, semuanya dipandang dengan rasa sangsi.
Belajarlah menerima sesuatu dengan iklas tanpa sebarang rasa prasangka. Belajarlah bersyukur, itupun kalau mereka orang yang bersyukur.

