mk-logo
Surat
2

SURAT | Apa yang berlaku dalam politik hari ini mengingatkan rakyat kepada episod besar yang pernah mengubah landskap negara iaitu Langkah Sheraton pada 2020.

Namun, rakyat juga perlu melihat dengan jujur bahawa situasi ketika Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya keluar dari PKR dulu sangat berbeza dengan apa yang sedang berlaku melibatkan Rafizi Ramli hari ini.

Ketika Langkah Sheraton berlaku, Azmin bukan sekadar membawa beberapa individu keluar parti, tetapi turut mengheret bersama kelompok ahli parlimen dan jaringan politik yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Langkah itu membuka jalan kepada pembentukan kerajaan baru melalui gabungan PN. Pada waktu itu, mereka tampil dengan naratif kononnya mahu membawa kestabilan politik dan menyelamatkan negara daripada konflik dalaman.

Namun selepas beberapa tahun berlalu, rakyat dapat menilai sendiri hasilnya. Kumpulan yang keluar bersama Azmin akhirnya gagal membina kekuatan politik yang benar-benar dominan dan diyakini rakyat.

Bersatu yang suatu ketika dilihat mahu menjadi parti masa depan Melayu, kini semakin bergantung kepada PAS untuk terus relevan dalam percaturan politik nasional.

Ramai tokoh yang dahulu keluar dengan penuh keyakinan juga semakin tenggelam dalam arus utama politik negara.

Hari ini, gerakan yang dikaitkan dengan Rafizi pula berlaku dalam suasana yang jauh berbeza. Ia bukan gerakan besar yang menggoncang kerajaan seperti Langkah Sheraton, sebaliknya lebih sebagai reaksi terhadap kekalahan dalam pemilihan parti serta perbezaan pendekatan politik.

Rakyat semakin matang

Realitinya, setakat ini tiada gelombang besar rakyat yang menunjukkan bahawa gerakan tersebut mampu mengubah landskap politik negara.

Malah kewujudan Parti Bersama Malaysia (Bersama) hari ini mula mengingatkan rakyat kepada nasib Parti Pejuang Tanah Air. Kedua-duanya lahir bersama nama besar dan tokoh terkenal, tetapi berdepan cabaran sama iaitu gagal membina kekuatan akar umbi serta tidak berjaya mencetuskan keyakinan rakyat secara menyeluruh.

Sejarah membuktikan bahawa populariti individu semata-mata tidak memadai untuk menjamin kelangsungan sesebuah parti politik.

Parti Pejuang pernah dipimpin oleh seorang negarawan yang paling berpengaruh dalam sejarah politik negara, namun akhirnya tetap gagal mendapat tempat di hati rakyat.

Parti Bersama juga tidak terkecuali daripada risiko yang sama jika mereka sekadar bergantung kepada sentimen, kelompok elit dan kekecewaan politik sementara hala tuju perjuangan tidak jelas.

Hakikatnya, keluar parti bukan jaminan kejayaan politik. Azmin dan kelompoknya pernah menggoncang kerajaan, tetapi akhirnya gagal membina legasi politik yang benar-benar kukuh.

Kini, gerakan baru yang cuba dibawa juga berdepan persoalan sama. Adakah ia benar-benar membawa agenda rakyat atau sekadar menjadi saluran kepada kelompok yang kecewa dalam perebutan kuasa dalaman?

Akhirnya, rakyat semakin matang dalam menilai politik negara. Mereka tidak lagi mudah teruja dengan drama lompat parti atau penubuhan parti baru yang bersandarkan nama individu semata-mata.

Tanpa kekuatan akar umbi, perjuangan yang jelas dan keyakinan rakyat, mana-mana gerakan politik akhirnya akan berada dalam keadaan yang cukup tepat digambarkan dengan peribahasa lama: hidup segan, mati tak mahu.


MUHAMMAD ZAKWAN MUSTFA KAMAL ialah Ketua Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS