Di dalam kesibukan semua pihak, terutamanya pembangkang, bersiap siaga menanti Parlimen dibubarkan- tarikh keramat yang menjadi milik Pak Lah dan seorang dua di sekelilingnya - perlulah ada juga persiapan dari sudut jentera, terutamanya untuk memastikan proses pendaftaran pengundi baru terus dijalankan.

Walaupun dikatakan pilihanraya umum ke-12 terlalu hampir, namun hakikatnya, politik dan pilihanraya ini telah menyaksikan pelbagai helah dan tipu muslihat. Dengan satu kelebihan undi sahaja boleh memenangkan satu pihak.

PAS dan Barisan Alternatif (BA) tidak perlu malu untuk memerintah Malaysia dengan kelebihan satu kerusi Parlimen, kerana sokongan sebenar kepada mereka adalah jauh lebih tinggi daripada itu.

Semua mengakui bahawa pengaruh Barisan Nasional (BN) semakin merosot, sehinggakan Tun Dr Mahathir Mohamad - atas saki baki kasih dan cintanya kepada Umno - terpaksa membuat kenyataan mengatakan Umno/BN masih mendapat sokongan padu dalam menghadapi pilihanraya umum ke-12.

Tun terpaksa menyelamatkan Pak Lah, kerana beliau sendiri berdepan dengan pelbagai risiko selepas diheret sama dalam kes pita Lingam. Walaupun Tun bukanlah selembik itu, namun, kuasa yang ada padanya tidak sehebat dahulu.

Kehebatan menantu Pak Lah, dengan segala percatuannya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk Tun berhadapan. Tun bukan berhadapan dengan menantu seorang, tetapi jentera dari seluruh dunia yang berkampung untuk menegakkan kerajaan Islam Hadhari! Beliau seorang lulusan Universiti Oxford, yang ternyata ramai kenalan, ramai rujukan.

Namun, beliau juga ada musuh. Beliau bukan musuh Tun seorang. Beliau turut dimusuhi pejuang keadilan.

Maka bangkitlah para pejuang. Jadikanlah kehebatan dan kekentalan jiwa dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan ini sebagai benteng dan perisai, nescaya ampuh dan keballah kita.

Jangan terpedaya dengan muslihat musuh, kerana selagi masa ada, selagi itulah pengundi baru dan segala penipuan pilihanraya menjadi senjata. Selagi itulah nasib rakyat Malaysia tidak terbela. Sekali terkena, lima tahun lagilah sengsara.