SURAT | Saya ingin buka semula kisah 2020. Ia adalah titik mula kepada siri ketidakstabilan politik Malaysia dan mengajar kita bahawa apabila politik dikuasai oleh nafsu merebut kuasa, rakyat yang akhirnya dipaksa membayar harga amat mahal.
Masih ingat lagi krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah?
Biar saya ceritakan semula. Krisis bermula apabila Musa Aman cuba membentuk kerajaan baru selepas mendakwa mempunyai sokongan majoriti Adun. Mohd Shafie Apdal kemudian membubarkan DUN, lalu pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Menjelang hari pengundian pada 26 Sept 2020, kes aktif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 14,519 kes berbanding hanya 397 pada Julai. Pada akhir Okt, Malaysia merekodkan 30,889 kes kumulatif dengan 14,519 daripadanya di Sabah saja.
Perdana Menteri ketika itu kemudian mengakui bahawa PRN Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga Covid-19.
Lebih parah, PRN Sabah menelan belanja RM130 juta, termasuk kos logistik, petugas, peralatan pilihan raya dan keperluan pencegahan Covid-19. Ia bukan angka kecil. Bahkan ia adalah wang rakyat, sumber negara. Kos itu muncul kerana percaturan politik yang sepatutnya boleh dielakkan.
Hari ini – pada 2026 – episod sama seperti berulang. Di Negeri Sembilan, kerajaan perpaduan pimpinan Aminuddin Harun menerima mandat rakyat pada PRN 2023. PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, dan PN memenangi baki lima kerusi lain.
Namun pada April lalu semua 14 Adun Umno menarik sokongan mereka daripada Aminuddin sehingga mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Sensitif pada perubahan
Alasannya – prinsip. Tetapi prinsip apakah namanya jika mandat yang diberikan rakyat akhirnya dijadikan alat tawar-menawar kuasa? Prinsip apakah yang memaksa rakyat kembali ke medan pilihan raya sebelum tempoh matang DUN ketika Negeri Sembilan sepatutnya boleh bertahan sehingga 2028?
DUN Negeri Sembilan kini dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus membuka laluan kepada satu lagi PRN.
Di Johor pula, ceritanya lebih menarik. Johor bukan kerajaan rapuh. Johor bukan kerajaan perpaduan yang sedang diganggu oleh rakan gabungan. Johor ialah kerajaan BN yang kukuh. Tiada usul tumbang kerajaan, tiada krisis majoriti yang mendesak.
Tetapi pada 1 Jun lalu Menteri Besar Johor mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa serta-merta. Persoalannya mudah: Mengapa sekarang?
Ketika rantau Asia Barat masih tidak menentu, ketika krisis tenaga dan kos sara hidup menekan rakyat, ketika kerajaan dan kementerian diminta berjimat, tiba-tiba kita dipaksa melayan satu lagi episod pilihan raya.

Jika alasannya kestabilan, Johor sudah stabil. Jika alasannya mandat, mandat masih sah. Maka semakin sukar untuk menolak andaian bahawa pembubaran itu lebih terkait dengan penyusunan semula kuasa politik BN berbanding keperluan sebenar rakyat.
Kesan politik daripada keputusan yang dibuat itu bukan terhad dalam dewan. Pasaran juga membaca sentimen. Berdasarkan saham Bursa Malaysia Bhd yang dikongsi, harga turun dari sekitar RM8.45 kepada RM8.42 dalam tempoh beberapa hari selepas pengumuman politik itu dibuat.
Memang kita tidak boleh menyimpulkan bahawa kejatuhan kecil berlaku semata-mata kerana pembubaran DUN, tetapi ia tetap menunjukkan satu perkara penting. Pasaran sensitif terhadap ketidaktentuan politik.
Pada 4 Jun lalu, indeks pasaran Bursa Malaysia berada pada 1,683.26 mata dengan data penyertaan pasaran menunjukkan pelabur asing mencatat aliran keluar bersih RM454 juta pada 3 Jun.
Rugikan diri sendiri
Semua tahu bahawa pilihan raya memerlukan kos besar. PRN enam negeri pada 2023 dianggarkan menelan belanja RM420 juta, atau sekitar RM70 juta secara purata bagi setiap negeri.
PRN Johor pada 2022 pula pernah dianggarkan sekitar RM96 juta. Jika dua PRN diadakan secara mengejut, kita sedang bercakap tentang puluhan juta ringgit wang awam yang boleh digunakan untuk keperluan rakyat, bantuan krisis, sekolah, klinik, infrastruktur kecil, atau program perlindungan sosial.
Telan air liur saya memikirkannya.
Inilah masalah politik mabuk kuasa. Yang mabuk ialah orang politik seperti Umno-BN tetapi yang pening ialah rakyat.
Dalam politik ada istilah Pyrrhic victory, iaitu kemenangan yang kosnya terlalu tinggi hingga kemenangan itu sendiri hampir menjadi kekalahan.
Istilah itu merujuk kepada Raja Pyrrhus dari Epirus yang menang melawan Rom, tetapi kehilangan begitu banyak kekuatan sehingga kemenangan itu akhirnya merugikan dirinya sendiri.
Begitulah juga politik hari ini. Mungkin Umno-BN merasakan mereka sedang menyusun kemenangan. Mungkin mereka yakin boleh mengukuhkan blok sendiri, menambah kerusi, atau menekan lawan politik.
Tetapi jika harga kemenangan itu ialah ketidakstabilan, pembaziran wang rakyat, gangguan pentadbiran, dan keletihan rakyat terhadap politik, maka itu bukan kemenangan yang bijak.
Itu kemenangan Pyrrhus. Menang sorak, negara tergadai tenaganya.
PH tidak pernah gentar untuk berkawan atau berlawan. Tetapi rakyat perlu menilai dengan jelas siapa yang berpolitik untuk kestabilan, dan siapa yang menjadikan kestabilan sebagai alasan untuk merampas ruang kuasa.
Kita boleh berbeza pandangan, kendatipun, apabila politik mula mengorbankan kepentingan awam hanya untuk melayan ego kelompok yang lapar kuasa, maka kelompok itu mesti dilawan dengan jelas.
Negara ini bukan milik Umno dan BN. Malaysia ini milik rakyat.
FADHLI UMAR AMINOLHUDA ialah Exco Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
