Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Pemuda MIC: Cari rezeki, jangan pinggir ibu bapa

Pemuda MIC Kebangsaan memandang serius isu yang semakin membimbangkan di negara kita, iaitu trend sebahagian anak muda meminggirkan atau mengabaikan ibu bapa dan keluarga akibat terlalu ghairah mengejar peluang ekonomi.

Hakikatnya, ramai anak muda berhijrah ke kawasan kota raya ataupun memilih bekerja di negara jiran seperti Singapura kerana peluang kerjaya dan gaji yang lebih tinggi.

Keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang salah, malah ia adalah usaha murni untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.

Namun, dalam keghairahan mencari rezeki, tanggungjawab terhadap ibu bapa yang semakin uzur tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan.

Antara punca utama berlakunya fenomena ini ialah tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, menyebabkan ramai anak muda terpaksa bekerja lebih masa sehingga mempunyai masa yang sangat terhad bersama keluarga.

Selain itu, golongan muda hari ini turut berdepan sindrom "sandwich generation", iaitu terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak dan pada masa yang sama menjaga ibu bapa yang semakin berusia.

Ditambah pula dengan kelemahan komunikasi dan jurang generasi yang semakin melebar akibat pengaruh teknologi dan gaya hidup moden, ikatan kekeluargaan menjadi semakin longgar.

Kesan daripada fenomena ini amat membimbangkan. Kita melihat peningkatan kes warga emas yang hidup bersendirian, mengalami kemurungan, rasa tersisih dan kemerosotan kesihatan fizikal serta mental.

Lebih membimbangkan, budaya meminggirkan ibu bapa ini boleh menjadi satu kitaran sosial negatif yang akan diulangi oleh generasi akan datang.

Pemuda MIC Kebangsaan percaya isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai kegagalan individu, tetapi perlu ditangani secara menyeluruh melalui kerjasama kerajaan, masyarakat, institusi keluarga dan sektor swasta.

Antaranya, penguatkuasaan Akta Warga Emas perlu diperkasakan bagi melindungi hak golongan warga tua. Pada masa yang sama, kempen kesedaran mengenai nilai berbakti kepada ibu bapa perlu diperkukuhkan di sekolah, rumah ibadat dan dalam masyarakat.

Syarikat-syarikat juga digesa menyediakan dasar kerja yang lebih mesra keluarga seperti waktu kerja fleksibel dan kemudahan penjagaan warga emas bagi membantu anak-anak menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Pemuda MIC Kebangsaan telah mendengar sendiri rintihan dan keluhan ramai ibu bapa yang terkesan dengan situasi ini.

Kami memahami kesunyian dan penderitaan yang dialami oleh golongan warga emas yang merasakan diri mereka dipinggirkan oleh anak-anak sendiri.

Sehubungan itu, Pemuda MIC Kebangsaan bersedia menjadi jambatan antara keluarga, masyarakat dan agensi berkaitan bagi membantu ibu bapa yang terkesan melalui program khidmat masyarakat, sesi kaunseling, bantuan kebajikan serta inisiatif memperkukuh institusi kekeluargaan.

Kami ingin menegaskan bahawa usaha ini bukanlah janji  atau tindakan bermusim bermotifkan politik.

 Sebaliknya, ia lahir daripada keikhlasan dan tanggungjawab sosial kami untuk menangani isu yang semakin meruncing dalam masyarakat.

Kemajuan ekonomi tidak seharusnya dibayar dengan keruntuhan institusi keluarga. Apa jua kejayaan yang dikecapi, ibu bapa tidak boleh dibiarkan keseorangan pada penghujung usia mereka.

Berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi cerminan nilai kemanusiaan dan budaya masyarakat Malaysia yang perlu terus dipelihara.



K ARVIND ialah Ketua Pemuda MIC

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS