Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Uncle MGG Pillai (panggilan penghormatan di atas sumbangan yang cukup bermakna) kerana sentiasa membawa minda kita terbuka di dalam mengikuti perkembangan politik tanahair menerusi malaysiakini .

Walau bagaimana pun saya merasakan Uncle kurang memahami pola pemikiran pendokong dan penyokong PAS di seluruh negara secara keseluruhannya ([#1] Thunderbolt danger for Umno on a tightrope [/#], March 9). Asas didikan dan budaya berorganisasi PAS telah memungkinkan pola pemikiran ahli-ahli parti ini berbeza dengan pola pemikiran ahli-ahli Umno dan Keadilan.

Secara umumnya kebanyakan ahli-ahli Keadilan Melayu berasal dari parti Umno. Mereka pada umumnya dididik oleh falsafah politik yang sama. Cuma kita semua beruntung kerana dari peristiwa yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memungkinkan apa yang berlaku sekarang. Tanpa peristiwa ini pun PAS sebagai sebuah parti politik akan pasti menarik minat orang Islam tidak kira bangsa untuk mendokongnya apabila berlaku sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai yang dikehendaki oleh Islam di dalam masyarakat.

Saya sebagai ahli PAS tidak begitu bercelaru dari segi kehendak untuk melihat nilai murni sejagat yang dibawa oleh Islam dikibarkan oleh sesiapa sahaja asalkan beliau yang ditugaskan untuk membawa panji-panji itu 'confirm' dengan kehendak Al-Quran. Tidak timbul soal Keadilan akan lebih beruntung daripada PAS atau sebaliknya kerana pada asasnya kita semua telah bersetuju untuk bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak lagi sesuai untuk menjadi nakhoda bahtera Malaysia ini.

PAS akan sentiasa tegak memperjuangkan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan manusia sejagat walaupun secara bersendirian. Seandainya terdapat kawan dan taulan yang turut sama ingin menegakkan keadilan untuk semua sudah tentu PAS akan bersyukur dan berbesar hati.

Saya mendokong perjuangan PAS bukan kerana Anwar dipenjara atau beliau sepatutnya bakal pengganti Perdana Menteri. Pada saya Anwar tidak penting; yang penting ketidakadilan telah berlaku.

Saya pernah menentang Anwar semasa beliau menjadi hulubalang Umno dahulu. Saya tidak menjangka perubahan sebagaimana sekarang akan berlaku sekiranya beliau masih bersama Umno dan tidak terkena musibah ini. Saya masih tidak lupa bahawa Anwar dahulu turut sama bersekongkol dengan mereka yang mempersendakan hukum Hudud dan hukum aurat.

Oleh itu jangan sangat terlalu risau dengan kemungkinan Keadilan akan mampu mencuri kepopularan di kalangan orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya daripada PAS seandainya Umno terus malap sinarannya. Saya merasakan kita telah bersepakat untuk bersatu dalam mendokong perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan, dan bersepakat untuk berbeza pendapat.

Walau pun kita berbeza pandangan tidak bermakna rasa hormat saya kepada Uncle MGG Pillai berkurangan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS