SURAT | Dakwaan bekas menteri besar, Mohamad Hasan, bahawa Aminuddin Harun melarikan diri dari DUN Sikamat ke DUN Linggi untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan sebenarnya hanyalah retorik politik.
Mohamad jangan buat-buat lupa kerana pada PRN lalu (2023), PH langsung tidak bertanding di Linggi kerana kerusi itu diperuntukkan kepada BN atas dasar semangat kerajaan perpaduan.
Kini, apabila PH kembali bertanding di Linggi, ia bukan soal melarikan diri sebaliknya PH hendak mengambil semula mandat yang pernah dikorbankan demi kestabilan politik negara.
Aminuddin hadir di Linggi bukan dengan keangkuhan dan kesombongan, jauh sekali bersama ketakutan seperti yang cuba digambarkan Mohamad.
Sebaliknya Aminuddin datang dengan rendah diri memohon kepercayaan rakyat Linggi semula untuk meneruskan khidmat, membina negeri dan memastikan kemajuan yang dinikmati hari ini dapat diteruskan untuk manfaat semua.
Aminuddin bukan lari, tetapi kembali. Bukan meninggalkan, tetapi mahu menuntut semula mandat yang pernah dilepaskan demi kepentingan negeri dan negara.
Pemimpin sejati tidak menyuruh orang lain berjuang bagi pihaknya tetapi berani turun ke medan untuk mendapatkan semula kepercayaan.
EDDIARMAN MOHD YUNOS ialah Ketua Penerangan PKR Melaka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
