Saya berasa amat terkilan apabila melihat Buletin Jam 12 tengahmalam (Nightline) yang disiarkan oleh TV3 pada pagi Isnin di mana Mentri Besar Kelantan dipaparkan sebagai tidak mengamalkan kebebasan akhbar.

Alasan TV3? Kerana beberapa 'pengiring' Tok Guru Nik Aziz Nik Mat telah menghalang dua krew TV3 daripada menemubual beliau selepas suatu ceramah di Negri Sembilan pada hari Ahad.

Insiden tersebut telah berjaya disensasikan oleh beberapa akhbar harian pada hari Isnin (Mac 12) selepas kedua-dua krew TV3 yang terbabit membuat laporan polis, di mana kandungan laporan tersebut mendakwa yang "kebebasan dan ketelusan yang dilaungkan oleh pembangkang hanya tinggal sebagai slogan".

Memang tidak dapat dinafikan yang beberapa pengikut PAS telah bertindak terlalu 'ghairah' dalam menghalang krew TV3 daripada menghampiri Nik Aziz, tetapi perlukah sampai suatu laporan polis dibuat?

Adakah krew tersebut mendapat sebarang kecederaan atau kerugian (selain daripada kepada ego mereka) kerana gagal menemubual Nik Aziz? Untuk makluman, wartawan yang bertugas di Kelantan boleh memasuki kediaman Mentri Besar ini pada bila-bila masa, dan belum pernah ada insiden di mana mereka pernah dihalau.

Dan belum pernah krew TV3 di Kelantan ini dihalau atau dihalang daripada acara-acara yang dihadiri oleh Nik Aziz. Daripada pengalaman wartawan yang bertugas di Kelantan, Nik Aziz ialah salah seorang pemimpin yang mudah diajak berbincang.

Mungkin krew TV3 Negri Sembilan patut merenung sejenak kenapa mereka begitu dibenci oleh pengikut PAS (jika bukan kesemua pengikut pembangkang?) Dalam pada itu, mereka juga boleh bertanya kepada sendiri adakah wajar seluruh gerakan 'Pembangkang' harus dilabelkan sebagai 'anti-kebebasan' semata-mata berdasarkan satu insiden di Negri Sembilan? Dan apakah komen TV3 apabila wartawan malaysiakini dihalau keluar daripada sesetengah sidang akhbar kerajaan?