Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam sesi rakaman finalis Bakat Muda Sezaman 2023 oleh Balai Seni Negara, saya mempersoalkan bagaimana kesedaran terhadap seni di lokasi boleh memberi impak kepada ekosistem sosial, ekonomi dan alam jika sekelompok seniman atau karya boleh mematangkan ekosistem hanya dengan bergulat idea kreativisme mereka di lapangan dalam sesuatu tempoh khusus serta singkat tanpa menggauli seluruhnya akar kesedaran sesebuah masyarakat yang sepatutnya tidak ada tarikh luput?

Paling lihai apabila karya dan status saja dimetaforakan serta dibina naratif penuh hiperbola seolah-olah sebuah karya yang menjadi monumen tersebut menyelesaikan akar masalah ekosistem secara romantisme.

Surat Friedrich Engels tanggal 25 Januari 1984 kepada Heinz Starkenburg menyatakan bahawa evolusi politik, perundangan, falsafah, religius, kesusasteraan dan seterusnya didasarkan pada evolusi ekonomi. Tetapi evolusi itu semua bereaksi terhadap satu sama lain dan juga bereaksi terhadap basis ekonomi tersebut.

Situasi ekonomi bukan penyebab, ia bukan agen tunggal dan semua hal yang lain bukan sekadar merupakan efek yang pasif; sebaliknya terdapat efek bertimbal-balik yang berasal dari kebergantungan ekonomi yang pada akhirnya selalu merupakan faktor yang menentukan.

Membangunkan kesedaran ekosistem seni di luar bangunan studio dan dalam ruang kubik institusi tidak semudah menjadi kritikus penuh retorika memorabilia apatah lagi setelah puluhan bahkan ratusan ringgit dicernakan dari galeri-galeri megah di pelosok ibu kota serta dunia lalu mendap dalam vakum sendiri.

Kita membandingkan sejumlah keberhasilan dan kejayaan sebagai tanda aras kematangan profesionalisme untuk dijadikan tujuan baik kepada generasi selanjutnya tetapi sejauh mana kesedaran baik tersebut dibentuk ketika luasnya studio dan dewan kuliah terlalu rigid terhadap idealisme serta aktivisme puluhan tahun lalu yang kita sendiri bentuk seperti indoktrinasi bahawa seni juga ada prinsip serta elemennya.

Pembentukan ekosistem didasari beberapa elemen dan prinsipnya seperti juga setiap karya dipamerkan dalam rumah lelong.

Kolektif, komuniti dan persatuan adalah sama sekali entiti yang akan membawa satu garis halus pemenjarakan matlamat kerana pada akhirnya ia berbolak-balik kepada tujuan.

Kolektif didasari idealisme dan aktivisme, sebuah perkumpulan yang tidak ada monopoli kuasa sepusat. Keterbukaan yang terangkum dalam meraikan pendapat, cadangan serta tindakan melalui kebersamaan mengikut keadaan dan situasi semasa serta kebergantungan secara mandiri melalui inisiatif berorientasikan usahawan sosial dan kolektif.

Gagal tekuni medium

Komuniti pula adalah sebuah struktur organisasi lokal dalam pengurusan masyarakat yang didasari panutan kuasa dan politik semasa yang didominasi kuasa sepusat melalui kepentingan-kepentingan tertentu berdasarkan kecenderungan wadah. Kebergantungan hampir sepenuhnya kepada agensi, jabatan, kementerian kerajaan dan institusi awam mahupun swasta serta politikus.

Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pula sebuah pertubuhan berdaftar yang mempunyai organisasi lengkap dan pengurusan teratur. Mempunyai sistem pendemokrasian dalam pentadbiran serta pengurusan melalui jawatankuasa sah yang telah diputuskan bersama dalam sesebuah keputusan melalui mesyuarat atau pengundian. Keterikatannya yang berpusat dalam pelbagai sudut kebebasan mempengaruhi kebergantungan kepada tujuan dan matlamat pergerakan melalui sumber entiti kepemilikan total yang kebiasaan kecenderungannya memberi manfaat balik, agensi, jabatan dan kementerian kerajaan.

Bagaimana kita mahu bermain dengan bahan jika mediumnya pun kita gagal tekuni dan apatah lagi mengharap karya akhir bakal dikenang sepanjang zaman?

Menggunakan alasan sistem serta institusi dan keterbatasan posisi adalah kebebalan yang fatal kerana sejak alasan tersebut telah menjadi argumentasi puluhan tahun lalu kenapa hari ini tiba-tiba setelah semuanya terhidrasi daripada hal-hal yang terduga, kita mempersoalkan tersebut dengan sejuta rasa pesimis serta tanda tanya.

Kepada para seniman kritikus dan maha karya, setiap generasi merai ranahnya sesuai dengan keberadaan keadaan dan situasi yang ringgit serta nilai tidak lagi disukat melalui rumah lelongan tetapi di lapangan-lapangan terpinggillah membentuk keinginan anda.

Kita ini saling menduga pada kedugaan masing-masing yang akhirnya memenangkan dugaan sendiri untuk membuktikan kebenaran kita.

Jadi rilekslah.

Selamat memprotes keangkuhan manusia.


ARAFAT HAMBALI ialah pendiri Ruang Oleh BalBuk Haus, sebuah ruang ekosistem pengkaryaan seni pinggir desa di Perlis dan bekas pemenang Hadiah Sastera Selangor 2015 serta Anugerah Bakat Muda 2023 (bagi kategori undian di lokasi).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS