MB Kelantan tidak telus atau TV3 tidak telus?
Tindakan TV3 mendakwa Menteri Besar Kelantan tidak telus dalam kebebasan akhbar adalah sesuatu yang tidak logik dan amat menyedihkan ([#1] Laporan polis semata-mata kerana dihalang? [/#] 14 Mac). Ini seterusnya membuktikan bahawa TV3 satu media yang tidak professional.
Sekiranya TV3 begitu mendabik dada tentang ketelusan beritanya, mengapa tidak pernah digembar-gemburkan betapa baiknya budi seorang Menteri Besar yang begitu ramah serta mesra dengan rakyat sekelilingnya? Mengapa tidak TV3 memfokuskan kepada seluruh dunia bahawa ada umat yang berjawatan tinggi sanggup menyedekahkan sebahagian dari gajinya untuk kebaikan rakyat? Mengapa tidak pula TV3 merencanakan kisah hidup Menteri Besar ini yang rakyatnya boleh berjumpa dengan beliau di kediamannya sendiri seperti bertandang ke rumah sahabat?
Mengapa tidak diceritakan akan keadaan rumah seorang Menteri Besar yang masih tinggal di rumah lamanya dan di dalam satu kawasan dengan masjid? Mengapa juga TV3 tidak pernah menunjukkan kepada rakyat bagaimana seorang pemimpin negeri berkebolehan menjadi Imam dan memberi khutbah dengan baik? Dan juga kenapa TV3 tidak pernah menunjukkan kearifan agama Menteri Besar ini sehingga dia dijadikan 'point of reference' oleh rakyat jelatanya?
TV3 begitu takbur memekik melaungkan isu rakyat yang semakin tenggelam dalam arus barat. Kalau begitu, mengapa pula TV3 tidak menunjukkan bahawa di dalam sesuatu perjumpaan atau mesyuarat yang penuh dengan manusia-manusia yang mengaku Melayu dan Islam, tetapi memakai pakaian yang jelas kebaratan, masih terdapat satu umat yang tetap dengan jubah dan serbannya?
Sekiranya TV3 benar telus, kenapa berita yang disampaikan selalunya dipotong dan dipinda untuk dipastikan sejajar dengan misi kerajaan iaitu untuk memburukkan pembangkang? Siapa yang mahu diwawancara sekiranya telah diketahui butirannya akan dipotong dan disusun untuk memuaskan sesuatu agenda lain?
Politik memang tidak pernah adil dan TV3 adalah antara contoh terbaik bahan omongan dan momokan para politik yang menikus di balik tabir media. Sedarlah para sahabat!

