Kuasa rakyat memilih dan menolak pemimpin
Seperti biasa, ahli politik adalah manusia yang paling sibuk ketika pilihanraya umum ke-12 ini. Mereka akan berhempas pulas untuk memastikan kejayaan di tangan mereka. Biarlah, itu memang tugas mereka pun. Kita hormati peranan mereka. Apa yang saya mahu berkongsi dengan teman-teman ialah apa pula peranan kita sebagai rakyat biasa?
Dalam pilihanraya, kita diberi tanggungjawab untuk mengundi calon pemimpin yang kita percayai akan membawa perubahan yang baik. Apakah selamanya kita menjadi pengundi yang pasif? Yang sekadar memangkah calon atau parti tanpa berfikiran kritis?
Kita sebagai generasi muda, dan rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa, iaitu memilih dan menolak pemimpin.
Dalam pilihanraya, mengundi adalah caranya. Dalam konteks hari ini, kita harus menyatakan tuntutan dan hasrat kita kepada bakal-bakal wakil rakyat nanti. Kita harus tegas dalam menuntut hak dan yang paling penting, apa yang baik untuk kita.
Saya melontarkan beberapa isu yang perlu kita sama- sama fikirkan, iaitu;
- Saya rasa ramai yang berhutang ketika belajar dan selepas belajar. Maka, bila berhutang ini, semacam kaki kita terikat sehinggakan asyik terfikir cara membayar hutang. Kenapa kita tidak dapat lagi biasiswa, walhal keuntungan negara agak memberangsangkan.
Sebenarnya banyak lagi isu yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Kerana itulah kita harus menghantar mesej yang jelas kepada bakal pemimpin dan kerajaan akan datang - bahawa kita generasi muda mahukan mandat yang segar dan baru. Saya kaitkan juga dengan pelbagai masalah luar seperti rasuah kehakiman, jenayah meningkat, mutu universiti merosot, gejala sosial meningkat, akhlak pemimpin yang rosak, dan pelbagai lagi.
Kita sepatutnya jelik dan bosan dengan janji- janji sesetengah wakil rakyat ini. Sebab itu Benjamin Disraeli ada menyatakan tentang politik, "Is the art of governing people by deceiving them". Maksudnya, politik ialah seni mengurus manusia dengan cara menipu mereka (janji palsu). Tidak semua ahli politik sebegitu, tetapi ramai yang sebegitu.
Justeru, kita harus menggerakkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai hak dan kuasa kita. Kita ada kuasa memilih yang harus dimanfaatkan. Kita harus menggunakan kuasa ini untuk kepentingan dan kebaikan kita.
Oleh itu, panggilan 'Yang Berhormat' perlu ditukar kepada 'Yang Berkhidmat'. Kita wajib menuntut dari mereka supaya menunaikan hak dan tuntutan kita, kerana mereka adalah wakil kita di Parlimen kelak.
Penulis adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

