Tanda ekonomi belum pulih
Adakah benar kita telah berjaya keluar dari kemelut ekonomi? Kenapa Komposit Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur masih di tahap 700 sahaja, malah telah turun sejak kebelakangan ini?
Saya bekerja di sektor perindustrian. Setiap hari mesti ada berita pekerja dibuang kerja, kilang mula pindah ke Vietnam, China, Thailand tetapi itu semua tidak dihebohkan oleh media tempatan. Kenapa? Untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang telah berjaya mengatasi kemelut ekonomi.
Kita perlu tanya kenapa dividen Tabung Haji hanya 5.5 peratus termasuk zakat. Ini kerana TH (TH Holding) membiayai projek KL Sentral ke KLIA dan pulangannya dijangka hanyalah selepas 20 tahun. Pelabur asing tidak akan melabur jika pulangannya lambat. Jalan yang senang, TH membiayai projek itu.
Kita perlu juga tanya kenapa saham MAS dibeli dengan harga RM8 oleh kerajaan sedangkan pada masa itu harga MAS telah jatuh ke harga terendah iaitu RM3.80. Kenapa kerajaan membayar Naluri begitu banyak? Sesungguhnya kerajaan itu rakyat juga. Duit rakyat digunakan untuk Naluri.
Inikah yang dinamakan kejayaan?
Satu yang saya masih lagi terkilan, Petronas masih menafikan hak rakyat Terengganu. Kenapa Barisan Nasional takut Terengganu mendapat royalti minyak? Saya pernah ke Terengganu dan bandarnya sangat daif. Selama 25 tahun BN memerintah Terengganu, bandar Terengganu lebih daif dari Sentul. Sedih melihat negeri yang majoritinya Melayu tapi hidup dalam kedaifan.
Saya yakin kerajaan Terengganu akan menggunakan duit royalti untuk rakyat. Kenapa takut untuk memberi royalti kepada mereka, takut digunakan untuk PAS sendiri? Takut kepada sesuatu yang kita tidak tahu? Tetapi lihat sahaja BN, 25 tahun memerintah Terengganu, di mana perginya duit itu? Bina KLCC supaya nelayan dan petani dari Terengganu boleh melawat atau tengok di televisyen.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.