Saya mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana untuk kesekian kalinya menyambut ulangtahunnya pada Ahad lalu.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara dan kebenaran dan keadilan, pesan saya kepada PDRM hanya satu: Jadilah 'polis', bukannya ' yes man '. (Ungkapan ini saya pinjam daripada sebahagian kata-kata Hakim Dato' Haji Sheikh Daud yang bersara baru-baru ini, yang menyeru hakim supaya: Jadilah 'hakim' bukannya ' yes-men '.)

Banyak yang telah diperkatakan mengenai PDRM semenjak beberapa tahun yang lalu. Imej PDRM tercedera teruk bahana perlakuan beberapa kerat anggota atasannya yang amat tidak menyenangkan. Paling atas dalam 'senarai hitam' ini ialah bekas Ketua Polis Negara - Abdul Rahim Noor sendiri. Saya sentiasa teringatkan nama beliau setiap kali melepasi tol Lebuhraya PLUS dalam perjalanan ke bandar Seremban. Di satu persimpangan, terdapat satu billboard yang meminta masyarakat membantu polis mencegah jenayah. Saya kira billboard tersebut telah pun berada di situ semenjak zaman Rahim menjadi KPN lagi. Apa yang dapat saya lakukan setiap kali melalui jalan itu hanyalah menggeleng-gelengkan kepala kesedihan betapa Rahim sendiri telah mengkhianati mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat.

Seolah-olah insiden itu tidak cukup memalukan, kegagalan pasukan penyiasat khas polis untuk menuding jari kepada Rahim setelah empat bulan siasatan dibuat menambahkan lagi keparahan imej polis.

Cukup di situ? Rupanya tidak juga.

Saya berasa amat terluka apabila mendapati pita VCD (video cakera padat) yang merakamkan pengakuan Sukma Dermawan dan Dr Munawar Anees tersebar luas di merata tempat. Malah seorang rakan saya, seorang Ketua Cawangan sebuah parti politik yang berkepentingan telah turut mengedarkan VCD tersebut kepada seorang lain di depan mata saya sendiri.

Saya tidak begitu ambil peduli tentang kewibawaan kandungan pita VCD tersebut kerana orang ramai telah pun membentuk perspektifnya sendiri tentang kes yang berkaitan dengannya. Namun ada satu perkara yang merunsingkan saya: Bolehkah PDRM membersihkan dirinya daripada palitan najis akibat pengedaran pita VCD tersebut?

Betapa tidak? Satu-satunya sumber pita VCD itu ialah ibu pejabat polis Bukit Aman. Ia sepatutnya berada di Bukit Aman dalam keadaan ' safe and sound '. Kalau pita itu boleh 'teredar' dan 'tersebar' kepada pihak ketiga, sumbernya sudah pastilah daripada Bukit Aman, dan tidak mungkin ada sumber kedua lagi.

Soalan saya: Gerangan apakah maka polis boleh terlibat mengedar pita itu? Jawapannya cukup menakutkan saya!