Bubarkan PRM!
Bagi peminat politik parti alternatif tanah air, usaha penggabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia sebenarnya masih kabur. Apakah sebenarnya erti penggabungan yang diwar-warkan itu?
Sedikit kefahaman yang sedia ada adalah, PRM akan terus wujud sebagai satu parti tersendiri walau berlaku penggabungan yang digembur-gemburkan itu. Fakta ini menimbulkan sedikit kekeliruan kepada anggota Keadilan.
Soalan pertama, kenapa PRM mahu terus wujud jika benar-benar mahu bergabung? Apakah ini bermaksud bahawa, jika berlaku kesan negatif kepada gabungan itu, parti itu akan kembali ke 'rumah' asalnya dan meninggalkan Keadilan? Kalau tidak, mengapa PRM perlu terus wujud? Leburkan saja parti itu.
Keduanya, persoalan ideologi. Ramai ahli mempersoalkan ideologi pembawaan PRM yang mirip sosialisme, dan masih terus mengamalkannya. Hal ini tidak dapat diterima oleh ahli Keadilan. Ada juga yang mempertikaikan persoalan ideologi, misalnya pengarang Berita Keadilan Khalid Jaafar, yang menganggap isu itu sebagai perkara lapuk.
Pada anggota Keadilan, jika benar PRM sudah meninggalkan ideologi sosialismenya, kenapa tidak saja parti itu dibubarkan dan anggotanya menyertai Keadilan tanpa perlu banyak bicara dan persoalan? Kenapa status quo harus dipertahankan?
Persoalannya ialah kenapa tidak dibubarkan saja PRM dan keseluruhan anggotanya menyertai Keadilan atau PAS secara terbuka dan beramai-ramai? Leburkan ideologi sosialismenya atau wujud status quo pemimpin PRM yang hendak dipertahankan? Segala yang mahu diperjuangkan oleh PRM sudah wujud pada Keadilan, yakni keadilan sosial sejagat, ketelusan, kebebasan bersuara dan sebagainya. Apakah lagi PRM mahu sehingga menghalang mereka membubarkan parti itu dan berbondong-bondong ke pintu Keadilan tanpa banyak bicara?
Ketiga, rakyat tidak jelas kesan penggabungan. Apakah perlembagaan, ideologi, lambang dan struktur kepimpinan akan berubah? Apakah mesyuarat agung tahunan akan berubah kepada kongres untuk melayan dan meraikan PRM? Apakah lambang mata yang sudah sebati dan dibanggakan oleh generasi muda dan anggota Keadilan kini akan dililit-merahkan untuk meraikan simbol PRM?
Sekali lagi, empat perkara itu tidak wajar disentuh. Sekali lagi, PRM harus dibubarkan jika mahu menyertai Keadilan dan tidak perlu banyak syarat dan bicara. Oleh itu, Rustam A Sani dan Dr Syed Husin Ali serta Dr Chandra Muzaffar tidak akan menghadapi banyak kerenah dan persoalan.
Keempat, pemimpin Keadilan tidak harus membuat sebarang keputusan tanpa persetujuan anggota. Jangan ada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang memandai-mandai membuat keputusan peribadi dengan mengisytiharkan keputusan itu harus pula diterima sebagai muktamad.
Kemudian ia dilaung-laungkan sebagai keputusan yang juga dipersetujui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini wujud usaha menjaja nama Anwar dalam permasalahan ini. Hal ini tidak wajar. Keadilan bukan Umno (itu harus diingat!) apabila semua keputusan presidennya hanya dicop oleh ahli.
Dengan itu, persoalan ini adalah mudah - bubarkan sahaja PRM dan seluruh anggotanya menyertai Keadilan tanpa banyak soal dan bicara. Rakyat tidak perlu diajak berpolemik panjang-panjang. Agenda 2004 perlu diutamakan!

