Kenyataan KPN mendahului mahkamah
Kenyataan Ketua Polis Negara berhubung penahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) beberapa pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi antara lain mengaitkan penglibatan mereka dalam mencetuskan ketegangan kaum menggunakan isu agama dan perkauman ([#1] Kump reformasi cuba guling k'jaan guna bom, pelancar bom [/#], 11 April).
Di antaranya mereka dikatakan menyebarkan maklumat palsu tentang isu orang Melayu bertukar agama menganut Kristian. Menurut kenyataan tersebut, mereka juga bertindak militan dengan mengancam, mengganggu dan menakutkan pengundi dan orang awam pada pilihanraya kecil Lunas yang lalu.
Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya tersebut serta amat mengenali penglibatan Mohamad Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Saari Sungib dan Gobalakrishnan sebagai teraju utama jentera Keadilan ketika pilihanraya tersebut, saya amat kesal dengan tuduhan yang disebutkan dalam kenyataan polis itu.
Selama sembilan hari kempen berlangsung, tumpuan utama Keadilan dan Barisan Alternatif ialah mendekati seramai mungkin pengundi melalui lawatan rumah ke rumah, pasar, taman perumahan, kampung baru, kampung tradisi, kempen kelompok dan penyebaran risalah.
Dengan kehadiran tenaga yang ramai, pendekatan kempen yang tepat dan tumpuan terhadap isu kroni, nepotisma, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran, campurtangan Dr Mahathir Mohamad dalam institusi kehakiman, media dan polis pengundi, seramai lebih 25,000 orang telah membuat keputusan menghukum Barisan Nasional.
Sokongan yang memenangkan calon BA datang dari pelbagai kaum. Analisis membuktikan 68 peratus pengundi Tionghua, 65 peratus Melayu dan 25 peratus India memberikan sokongan kepada calon BA, seorang Melayu. Adalah tidak munasabah untuk mengaitkan aktivis reformasi menggunakan isu agama dan perkauman ketika berkempen pada pilihanraya Lunas.
Keseluruhannya pilihanraya kecil Lunas berlangsung aman. Kedegilan Barisan Nasional menerima hukuman dari rakyat membawa kepada beberapa pimpinan Keadilan dan aktivis reformasi kini menghadapi tuduhan di bawah Akta Polis dan Kanun Acara Jenayah. Mereka dituduh merusuh dan mengurung pemandu bas di dalam bas pada 29 November 2000 di Lunas. Mereka terbabit termasuklah Ezam, Tian Chua dan Gobalakrishnan. Kes mereka akan mula dibicarakan pada 18 hingga 21 Jun tahun ini.
Sehingga mahkamah memutuskan kes tersebut, bagaimana mungkin Ketua Polis Negara memberikan alasan 'tindakan militan termasuk mengancam, mengganggu dan menakutkan pengundi dan orang awam' sebagai sebab menahan mereka di bawah ISA? Sungguh alasan-alasan tersebut sesuatu yang memualkan dan tidak sama sekali membantu memulihkan kredibiliti pihak polis yang semakin pudar pada mata rakyat.
Bertindak segera membebaskan semua mereka yang ditahan adalah tindakan yang paling wajar jika pihak polis masih punyai sisa-sisa peri kemanusiaan dan profesionalisma perkhidmatan.

