Merujuk surat Cina Langkawi ([#1] Isu haram dan bukan Islam [/#], 13 April), izinkan saya menambah sedikit lagi komen untuk menjernihkan suasana, mudah-mudahan.

Penulis nampaknya gusar sekali tentang penjualan minuman keras atau tabiat meminum minuman keras yang kononnya diharamkan di Terengganu baru-baru ini. Beliau mungkin juga cemas, takut-takut hak sesetengah golongan tidak terjamin dengan penguatkuasaan ini.

Malangnya, penulis tertinggal perkataan 'terbuka' dalam membicarakan soal ini.

Yang diharamkan oleh kerajaan Terengganu ialah penjualan dan pengambilan minuman keras secara 'terbuka'. Kalau sesiapa hendak minum di rumah atau di tempat-tempat yang dibenarkan, minumlah, tiada siapa yang akan menghalang.

Saya turut bersetuju seratus peratus tentang peringatan penulis bahawa tiada dalam ajaran Islam yang tidak membenarkan bukan Islam mengambil minuman keras.

Selain itu, penulis juga bercakap tentang mekanisme kawalan untuk mengawal tabiat meminum minuman keras kerana menurut beliau, ianya bukanlah satu amalan yang kronik dan tidak boleh dikawal. Bukankah melarang penjualan secara terbuka itu merupakan salah satu mekanisme kawalan yang dimaksudkan?

Walaubagaimanapun, sekiranya penulis beranggapan mekanisme kawalan tersebut masih kurang berkesan, hubungilah kerajaan negeri Terengganu untuk mendapatkan keterangan yang tepat, sahih dan jitu.

Jangan lupa memberikan cadangan atau bantahan (sekiranya ada) kerana saya yakin kerajaan Terengganu bersedia mendengar dari mana-mana pihak atau kaum tanpa perlu ditemani oleh anggota FRU, semburan air ' water-cannon ' atau gas pemedih mata.