Surat bertajuk 'Issue decree on ISA' (April 23) oleh Amiriqa dirujuk. Saya menyokong penuh pendapat beliau supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan kepada masyarakat; khususnya masyarakat Islam di Malaysia, berkenaan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kestabilan negara dan krisis keyakinan terhadap institusi-institusi kehakiman dan keselamatan yang kian meruncing kini semakin menekan kepada perlunya badan tertinggi agama Islam; iaitu Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh semua mufti negeri, untuk bangun, menunjukkan sikap dan menyatakan secara jelas perspektif Islam terhadap isu ISA untuk difahami oleh masyarakat, tanpa perasaan segan silu dan menyebelahi mana-mana pihak.

Bagaimanapun, jika kita lihat dari peristiwa-peristiwa terdahulu, mungkin harapan kita untuk melihat majlis fatwa bertindak akan tinggal harapan sahaja.

Jika kita teliti, telah beberapa kali Majlis Fatwa Kebangsaan gagal menyatakan pendirian secara terbuka terhadap perkara-perkara berikut:

- dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menghina Nabi (saw).

- mempertikaikan hukum hudud; beberapa pemimpin kerajaan termasuk Dr Mahathir telah berkali-kali mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud.

- sikap tidak peka terhadap kumpulan anti-hadis walaupun penggeraknya secara terang-terangan menulis dalam bukunya agar 'hadis dinilai semula.' Buku itu mengandungi perkara-perkara yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam kerana menolak hadis sebagai sumber hukum.

Setakat ini tidak ada tindakan oleh pihak berkuasa agama, misalnya mahkamah syariah, terhadap penulisnya walau buku itu diharamkan kira-kira 15 tahun lalu. Inilah puncanya golongan antihadis terus menyebarkan pandangan mereka melalui ucapan dan tulisan.

- kesalahan qazaf terhadap Anwar Ibrahim (Qazaf ertinya menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil, seperti diwajibkan dalam perundangan Islam - editor). Isu ini telah mendapat perhatian beberapa ulama terkenal di luar negara seperti Profesor Yusuf Qardhawi dan Dr Taha Jabir; tetapi tidak ada satu pun kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sepatutnya pihak berkuasa Malaysia mengheret beberapa orang tertentu, termasuk pemimpin negara, yang terlibat kes qazaf ini ke mahkamah syariah.

- tafsiran mengelirukan terhadap Islam seperti kenyataan Perdana Menteri ketika merasmikan Universiti Islam Antarabangsa pada 17 April lalu.

Kenapa ulama-ulama membisu dan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan pula tidak memanggil mesyuarat jawatankuasa itu untuk mengkaji kenyataan-kenyataan seumpama ini?

Walaupun ada perkara-perkara yang di keluarkan kenyataan dan ditegur seperti masalah filem Bollywood, penggunaan nama Islam dalam pertubuhan-pertubuhan, pengharaman rokok, isu mengekalkan tugu-tugu peringatan, isu ratu cantik dan beberapa lagi tetapi keberkesanan Majlis Fatwa Kebangsaan dirasakan tidak begitu menyerlah kerana kebanyakan perkara besar dan yang menyentuh kepentingan pihak-pihak berkuasa tertentu, Majlis Fatwa Kebangsaan dilihat mengambil sikap "menutup sebelah mata".

Ini menyebabkan orang ramai atau masyarakat Islam di Malaysia memandang rendah kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan. Majlis itu lebih cenderung mengeluarkan pendapat berhkaitan perkara-perkara yang tidak kontroversi dan dirasakan lebih selamat untuk mereka.

Daripada perkembangan semasa, khususnya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, masyarakat berasa ragu dan risau kerana mungkin majlis fatwa mengalami krisis keyakinan seperti yang telah terjadi pada institusi-institusi polis, badan kehakiman dan media yang sering diperalatkan oleh Dr Mahathir.

Kerisauan ini diperkukuhkan apabila terdapat beberapa tokoh, yang mempunyai latar belakang agama, yang sanggup pengampu-ampu pemimpin negara, Mereka termasuklah Abdul Hamid Zainal Abidin, Abdul Hamid Othman, Yusof Noor, Kadir Talib, Nakhaie Ahmad, Zainal Abidin Kadir, Dusuki Ahmad, Fadil Hanafi dan sekarang pengerusi majlis fatwa sendiri, iaitu Datuk Dr Ismail Ibrahim.

Jika dikaji latar belakang individu-individu tersebut, mereka mendapat pengaruh melalui kedudukan mereka yang menjaga kepentingan Dr Mahathir. Sepatutnya mereka memainkan peranan menasihati pemimpin negara itu agar menjaga kepentingan dan kehormatan Islam dan membantu Majlis Fatwa Kebangsaan untuk bersikap lebih tegas dan berani menegakkan yang benar seperti yang diperintahkan oleh Al-Qur'an dan sunnah. Sayang sekali, mereka lebih berminat menjaga kepentingan diri sendiri.

Malah terdapat persamaan mereka dengan beberapa individu lain seperti Ali Abul Hassan Sulaiman atau Mohtar Abdullah yang nyata diberikan 'ganjaran' setelah membantu Dr Mahathir menjayakan tugasannya.

Contohnya Ismail sendiri diangkat sebagai tokoh Ma'al Hijrah (bersama sejumlah ganjaran kewangan) ketika orang ramai sendiri melihat betapa lemah dan tidak berkesannya Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah pimpinan beliau. Begitu juga Abdul Hamid Zainal Abidin yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri meskipun peranan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilihat lemah.

Diharapkan majlis fatwa dapat bangkit dan memperbaiki imejnya yang semakin diragui, sama seperti institusi kehakiman dan polis. Majlis itu diharapkan akan menyatakan kebenaran tanpa takut dan ragu-ragu, khususnya apabila muncul isu-isu besar yang menyentuh prinsip agama dan kepentingan umat Islam.

Mereka sepatutnya memimpin masyarakat memahami sesuatu isu, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan pihak berkuasa dengan sewenang-wenangnya. Cara penggunaan akta ini bertentangan dengan prinsip keadilan Islam dan juga hak asasi manusia.

Pada pandangan agama, menahan seseorang tanpa alasan yang cukup walau dibenarkan oleh undang-undang seumpama ISA adalah tindakan zalim. Semua tahanan wajib diberikan peluang membela diri di mahkamah.

Golongan ulama, terutama yang berada dalam majlis fatwa dan golongan agama yang mempunyai peranan dalam pemerintahan Mahathir wajiblah meletakkan ketakwaan kepada Allah mengatasi segala kepentingan yang lain, terutama takut pada ancaman manusia.

Mereka tentu lebih arif tentang hal ini. Sebagai orang kebanyakan, kami menasihati mereka agar ingatlah tanggungjawab terhadap Allah dan perhitungan yang berat di Akhirat kelak.