Cadangan Imigresen tak masuk akal
Susulan kepada komen oleh WLLIM mengenai cadangan Jabatan Imigresen Malaysia supaya penduduk-penduduk tetap (permanent residents) di luar negeri memperbarui paspot antarabangsa mereka di Malaysia ('Preposterous passport proposal', May 4), saya ingin meluahkan pendapat saya kepada pegawai berkenaan.
Saya telah menetap di Amerika Syarikat lebih tujuh tahun kerana menemani anak-anak saya yang menuntut di sini, tetapi kami sekeluarga masih memegang kerakyatan Malaysia, memperbaharui paspot antarabangsa kami di pejabat Konsul Malaysia di Amerika.
Kami amat terkejut dengan cadangan pihak Jabatan Imigresen yang langsung tidak masuk akal, yang memberi alasan bahawa kami yang bermastautin di luar negeri tidak tahu langsung perkembangan harian di Malaysia.
Saya ingin memaklumkan kepada pegawai berkenaan bahawa keadaan perkembangan semasa di Malaysia dapat saya ikuti setiap hari melalui edisi Internet media tempatan seperti malaysiakini , Utusan Malaysia , Berita Harian , Star , New Straits Times dan lain-lain lagi. Walaupun saya tidak menetap di Malaysia, tetapi saya berpendapat diri saya mengetahui keadaan semasa di Malaysia lebih banyak dan terkini daripada mereka yang menetap di Malaysia!
Jika cadangan yang berfikiran sempit oleh pegawai berkenaan diterima oleh pihak kerajaan, apa gunanya kerajaan membuka pejabat-pejabat konsul di luar negeri? Dapatkah mereka yang hanya kembali ke Malaysia selama seminggu dua dalam tempuh lima tahun semata-mata untuk memperbaharui paspot mereka, mengetahui perkembangan semasa di Malaysia dalam masa yang singkat itu?
Berfikirlah dulu sebelum memberi sebarang cadangan!

