DAP juga sudah pandai menggunakan statistik untuk memperlihatkan kepincangan dewasa ini sedangkan angka statistik ini perlu diperjelaskan dari kedua-dua sudut; yang memihak kepada kita dan juga yang tidak memihak kepada kita ('University intake ratio breached for decades: DAP', May 14).

Saya percaya statistik pelajar bumiputra melebihi kuota semenjak 1980 kerana diambilkira bilangan pelajar di ITM (semenjak 1999 - UiTM) dan bilangan pelajar matrikulasi yang memang hak 100 peratus pelajar bumiputera dicampur dengan kuota semasa 55 peratus di universiti tempatan. Saya khuatir tanpa bilangan pelajar ITM dan matrikulasi ini, mungkin kuota sebenar kurang daripada 55 peratus.

Selain itu, sebagai mengimbangi, DAP patut menyatakan kepuasan hati dengan peratus pelajar bukan bumi yang amat besar di kolej-kolej swasta kerana sebagaimana dengan kuota pengambilan pelajar bumiputera di universiti tempatan, adalah juga dasar kerajaaan Barisan Nasional yang amat menguntungkan pelajar-pelajar Cina terutamanya. Jangan hanya hentam atau dedah perkara negatif kepada kaum bukan bumiputera sahaja tetapi yang positif kepada DAP tetapi merugikan kaum bumiputera didiamkan sahaja.

Kepincangan sosio-ekonomi bumiputra selama 400 tahun akibat penjajahan cuba diperbetulkan dengan antara lain sistem kuota ini yang pada pengamatan saya berjalan baik selama lebih kurang 20 tahun (1970-1990) tetapi telah punah apabila wujudnya beratus kolej swasta hari ini.

Sepatutnya untuk mengimbangi bilangan pelajar bukan bumiputera yang besar di kolej swasta itu, pengambilan kuota pelajar bumiputera ke universiti tempatan perlu dipertingkatkan hingga ke maksimum mungkin hatta 100 peratus supaya nisbah graduan bumi dan bukan bumi seimbang pada dekad akan datang.

Selain itu, saya juga ingin mengetahui bilangan pelajar bumi dan bukan bumi di universiti asing yang beroperasi di Malaysia seperti Monash, Nottingham dan sebagainya. Agaknya tentu 65 peratus bumi dan 35 peratus bukan bumi? Mungkin saudara Kerk Kim Hock, setiausaha agung DAP boleh memberikan statistiknya?

Sebagai penyokong BA, saya berpendapat komponen lain telah melangkah jauh meninggalkan fahaman politik perkauman tetapi tidak DAP. Baru-baru ini cepat melatah isu patung dan kini isu kuota pula. Betul untuk memperjuangkan kuota 45 peratus bukan bumiputera tetapi janganlah melihat dari sudut yang sempit dan menyakiti kaum lain yang mana hak-haknya juga turut terhakis akibat dasar pemerintah hari ini.