Sokong PKPIM, kawal barah sosial
"Sesungguhnya sebilangan daripada ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian, tetapi bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Nas hadis ini jelas satu amaran daripada baginda Rasulullah tentang aspek berpakaian yang tidak mengikut garis panduan seperti telah ditetapkan dalam Islam.
Amaran tersebut merangkumi cara berpakaian yang nipis atau jarang, ketat, menampakkan bentuk tubuh badan dan mendedahkan bahagian-bahagian tubuh tertentu.
Untuk apa amaran tersebut? Sudah tentulah demi menjaga maruah wanita Islam, selain merupakan bukti kecintaan baginda kepada umatnya.
Saya merujuk cadangan yang dikemukakan oleh Munirah Bahari, selaku naib presiden hal-ehwal wanita Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kepada Kementerian Pelajaran baru-baru ini.
Cadangan tersebut meminta supaya kementerian merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan Islam di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dengan menukar baju seragam berwarna putih kepada baju seragam berwarna.
Cadangan itu bagi mengelakkan jenayah seks dan penzinaan yang mungkin berlaku berikutan baju seragam sedia ada yang berwarna putih itu jarang atau 'transparent.'
Justeru, cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM itu wajar dan seharusnya disokong oleh semua pihak kerana ia satu langkah pencegahan yang baik bagi mengelakkan barah sosial sedia ada dalam masyarakat daripada terus merebak.
Kita sering mendengar peribahasa Melayu yang menyebutkan "mencegah lebih baik daripada merawat".
Jadi, mengapa kita tidak amalkan peribahasa ini dalam perkara-perkara yang dirasakan wajar dan perlu?
Sebagai menambah cadangan tersebut, saya turut menyarankan Kementerian Pelajaran agar lebih berhati-hati dalam setiap penentuan pakaian seragam sekolah supaya ia selaras dengan etika pemakaian dalam Islam.
Seperti yang kita maklumi, setiap penetapan yang telah dibuat oleh Islam pasti bertujuan menjaga kemaslahatan ummah.
Selain faktor pakaian seragam, ibu bapa dan guru-guru berperanan memberi kefahaman kepada anak-anak dan pelajarnya melalui didikan agama, khususnya tentang etika pemakaian dalam Islam.
Dengan demikian, pelajar akan lebih tahu menjaga diri mereka ketika berada dalam sebarang situasi.
Sehubungan dengan itu, cadangan yang diutarakan oleh pucuk pimpinan PKPIM itu sangat wajar, sesuai dengan situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini.
Cadangan ini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat dan dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran.
Semoga manfaatnya kembali kepada para pelajar itu sendiri.
Mohd Faisal Mustaffa adalah setiausaha agung, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

