Hooray kepada tiga puisi khas untuk Hishamuddin Rais oleh Susan Loone ('Missing Hisham', May 15) yang sekaligus membawa pelbagai gambaran tentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mereka yang ditahan di bawah akta kuno itu.

Puisi tersebut bukan sahaja mengggambarkan kentalnya semangat seorang pejuang bahkan ia sekaligus menceritakan kepada masyarakat tentang kebodohan kerajaan bagi memaksa setiap individu dalam Malaysia mencintainya.

Kesungguhan kerajaan dalam memaksa dan menekan setiap individu terutama ahli politik pembangkang dan aktivis masyarakat melalui ISA memang sudah sedia maklum. Namun gambaran sebenar mengenai kesungguhan itu tidak pula kita sedari bahawa ia satu kerugian dan proses membuang masa oleh kerajaan kerana jumlah tahanan ISA sejak akta itu diperkenalkan sudah menjejak beribu orang namun berapa ramaikah kalangan mereka itu yang benar benar teralih pemikirannya untuk mencintai kerajaan?

Sebagai contoh mereka menahan Hishamuddin untuk memaksa beliau kembali menyintai kerajaan yang kononnya memberi beliau peluang untuk pulang ke tanahair selepas merempat selama 20 tahun di luar negara kerana mereka memang memerlukan manusia seperti Hishamuddin.

Namun malangnya jiwa Hishamuddin itu adalah setebal Tembok Besar China, sudah sebati dengan pemikiran yang terlalu kukuh yang memang tidak akan terlawan oleh kudrat dan titik peluh seluruh SB ( Special Branch atau Polis Cawangan Khas) yang menyoal siasat beliau.

Maka kerajaan yang tidak berputus asa ini tidak sedar bahawa mereka sudah membuang masa, tenaga dan wang ringgit kerana menahan seorang aktivis kental seperti Hisham. Bukankah mereka juga terpaksa mengeluarkan belanja apabila untuk menyediakan makanan dan minuman dan dalam waktu yang sama segala usaha mereka itu sia-sia? Tidakkah mereka nampak kelemahan mereka berfikir dalam menangani masalah seorang manusia seperti Hisham? Atau mereka sebenarnya tidak mengeluarkan sebarang belanja membeli makanan dan minuman atau mereka sebenarnya memang sudah terlalu lemah untuk berfikir?

Hishamuddin yang amat saya kenali dan amat saya kagumi itu sebenarnya terlalu besar untuk sebuah akta kuno seperti ISA. Beliau mempunyai prinsip hidup yang terlalu kukuh dan kental. Sebagai bukti, jika kalangan kita yang pernah mendengar secebis riwayat perjalanan beliau yang membawanya hidup jauh tanpa berita daripada keluarga dan tanah tumpah darahnya pasti akan bersetuju dengan pandangan ini.

Bersama hapuskan ISA.