Peniaga tagih sokongan Dr Lo' Lo'
Sebagai seorang warganegara yang prihatin, saya berpendapat notis yang dikeluarkan kepada peniaga dan penduduk pasar minggu Kampung Baru sebagai zalim.
Fenomena ini membuatkan saya mengimbau sejarah pilu Kampung Berembang - kebiadaban penguatkuasa terhadap peneroka bandar ini semakin menjadi-jadi.
Jelas, terdapat msalah dalam sistem urus tadbir bandar; bukan setakat di Selangor, hari ini Wilayah Persekutuan turut menerima tempias tragedi Berembang dahulu.
Justeru saya memmohon kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengkaji semula notis yang dihantar kepada penduduk terbabit, dan seterusnya mengeluarkan satu surat tunjuk sebab mengapakah penduduk dan peniaga ini tidak boleh mendapat sebarang ganti rugi jika benar mereka terpaksa dipindahkan.
Saya juga memohon pihak DatUk Bandar berhujah dengan akta rasmi yang kita ada dengan menjelaskan status para peneroka bandar ini dengan sandaran yang jelas, tepat dan sahih, seperti dokumen dan maklumat daripada pejabat tanah itu sendiri.
Saya juga berharap jika benar tanah tersebut di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), maka PKNS akan tampil untuk menjernihkan keadaan.
Tidak berapa lama dahulu Kampung Baru "diiktiraf" sebagai "jantung Kuala Lumpur" dan hari ini jantung ini cuba dihapuskan atas nama "setinggan".
Saya berharap ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali akan bertindak secara efektif dan kolektif bersama masyrakat Kampung Baru dan siasatlah apakah sebenarnya rancangan yang ada di sebalik label "setinggan" yang diberikan kepada penduduk pasar minggu Kampung Baru.
Jika ada sebarang muslihat di sebalik label ini, rungkai segalanya dan bawa ke muka pengadilan.
Semoga dengan ketelusan ahli parlimen Pakatan Rakyat, tidak ada lagi penguatkuasa atau kroni-kroni yang berani mengambil kesempatan terhadap peneroka bandar.
Semoga usaha kita untuk merungkaikan yang kusut ini akan mengakhirkan episod duka si peneroka bandar.

