Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rasanya kami sudah menemui musuh utama rakyat Sabah - wakil-wakil rakyat BN negeri ini di peringkat negeri dan nasional.

Kami sudah terpedaya dengan kata-kata manis mereka sehingga percaya yang mereka kononnya ikhlas untuk mempertahankan hak Sabah.

Beberapa hari lalu, cadangan untuk menubuhkan satu suruhanjaya diraja (dikemukakan oleh ahli parlimen DAP, Lim Kit Siang) untuk menyiasat isu pendatang tanpa izin (PTI) ditolak oleh timbalan speaker Dewan Rakyat Ronald Kiandee atas alasan yang langsung tidak munasabah.

Sambutan daripada wakil-wakil rakyat yang lain juga langsung tidak memberangsangkan. Anifah Aman, Bung Mokhtar Radin dan Ghapur Salleh, masing-masing tidak menunjukkan minat, atau tidak bersetuju suruhanjaya ini patut ditubuhkan.

Wakil-wakil yang sebelum ini sering kali menyuarakan rasa tidak puas hati tentang keadaan PTI di Sabah juga tidak menunjuk minat terhadap cadangan ini.

Apa sudah jadi pada mereka? Cakap kosong saja? Apaila berpeluang berbuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini, semua terdiam!

Masalah PTI bukan sekadar isu terlalu banyak pendatang asing, tetapi ia juga melibatkan masalah pendatang yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia bersama hak mengundi.

Dasar sulit kerajaan ini yang juga dikenali sebagai "Projek IC" atau "Projek M" bukanlah tuduhan semata-mata.

Terdapat banyak bukti yang boleh dilihat di mana-mana.

Contoh paling ketara, semasa perbicaraan petisyen pilihanraya kawasan DUN Likas pada 1999. Kemenangan Yong Teck Lee daripada SAPP diisytiharkan tidak sah kerana terdapat banyak nama yang tidak "halal" dalam senarai pemilih di kawasan tersebut.

Semasa petisyen itu juga, pelbagai bukti telah dibawa masuk yang membongkarkan satu rahsia konspirasi oleh segolongan ketua daripada suatu parti politik untuk memberi hak kewarganegaraan kepada pendatang asing dari Indonesia dan Filipina secara sistematik.

Bukti lain juga boleh dijumpai dalam jurnal-jurnal antarabangsa seperti International Studies Quarterly . Mutalib MD turut menulis beberapa buku yang menceritakan tentang konspirasi ini.

Apakah agaknya wakil-wakil rakyat kita dan kerajaan akan lakukan untuk menyelesaikan isu ini?

Anifah berkata beliau tidak bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya, tetapi berpendapat jawatankuasa khas parlimen dalam isu ini lebih sesuai.

Beliau juga berkata orang Sabah, kononnya, tidak mahu suruhanjaya kerana ia tidak membabitkan wakil-wakil rakyat Sabah dalam proses penyelesaian masalah ini.

Kenyataannya ini satu penipuan besar. Kami tidak ingin wakil-wakil rakyat terlibat dalam proses siasatan masalah PTI. Kami mahu penubuhan satu badan bebas daripada pengaruh politik menjalankan penyiasatan.

Bukan ahli-ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (Adun) sendiri yang menyiasat kerana mereka sendiri mungkin terlibat dalam isu PTI. Tolong jangan perbodohkan kami.

Menurut Jabatan Perangkaan Negara, pada 2006, dianggarkan 25 peratus daripada jumlah penduduk di Sabah terdiri warganegara bukan Malaysia - yakni lebih kurang 750,000 orang.

Jika tuduhan konspirasi "Projek IC" itu benar, apakah yang akan berlaku kepada 750,000 pendatang asing ini? Adakah mereka juga akan diberikan kad pengenalan sah (IC) suatu hari nanti?

Jelas bahawa isu ini amat serius dan harus dibentangkan, disiasat dan diselesaikan. Golongan pendatang yang menganggur harus dihantar pulang ke negara masing-masing.

Isu ini melibatkan keselamatan negara dan bahaya puak pelampau atau pengganas.

Atas sebab-sebab di atas, kami meminta semua ahli parlimen Sabah daripada BN untuk mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat isu PTI.

Kami tidak akan terima apa-apa yang kurang daripada ini. Kalau permintaan kami tidak dipedulikan, kami akan anggap mereka tidak ada langsung niat untuk menyelesaikan masalah ini.

Oleh itu, merekalah musuh utama rakyat Sabah.

ADS