Bekas pekerja tidak berpuas hati
Pendedahan yang dibuat Ex-Star Journalist melalui surat bertajuk 'Ling lies about 'non-interference'' (May 30), tidak lebih daripada luahan rasa kecewa penulis dan bukannya satu pendedahan yang ikhlas.
Tulisan penulis diselubungi dengan rasa dengki, jaki atau tidak berpuas hati yang amat sangat dan ini dibuktikan apabila beliau menyebut beberapa nama wartawan kanan dalam akhbar itu. Barangkali penulis merasa kecewa kerana setelah berkhidmat lebih 20 tahun dengan akhbar Inggeris nombor satu negara itu, penulis tidak mendapat 'apa-apa' sama ada dari segi kenaikan pangkat atau tempat berbanding dengan personaliti-personaliti yang disebut itu 'melonjak bagai bintang dalam karier mereka'.
Kalau tidak masakan penulis mengecam wartawan-wartawan kanan itu dengan pelbagai tuduhan yang belum pasti kebenarannya.
Jika penulis benar-benar memperjuangkan kebebasan akhbar dan mencurigai kredibiliti akhbar Star , mengapa sanggup 'bertahan' lebih 20 tahun di syarikat itu?
Secara peribadi saya berpendapat, akhbar Star walau bagaimana sekalipun campurtangan ahli-ahli politik MCA, masih merupakan akhbar yang 'moderate' (sederhana) dan dipercayai kredibilitinya dibandingkan dengan akhbar-akhbar harian arus perdana yang lain.

