Saya telah mengikuti dengan penuh minat muktamar PAS yang baru selesai. Izinkan saya memberi pendapat saya tentang penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Selama saya mengikuti perkembangan politik negara ini, PAS sehingga hari ini hanya membicarakan matlamat negara Islam, tetapi tidak pernah menjelaskan kepada rakyat isinya secara mendalam atau terperinci.

Rakyat khususnya orang bukan Islam tidak faham tentang model 'negara Islam' yang dimaksudkan oleh PAS.

Menurut apa yang saya fahamkan di sebuah 'negara Islam', soal kepentingan kaum tidak timbul sama sekali kerana tiada hak keistimewaan bagi mana-mana kaum, maka tiada sistem kuota perkauman dan masalah penggunaan apa-apa bahasa.

Dalam soal kemiskinan pula semua kaum akan dilayan secara saksama, tidak mengira keturunan kaum; semua rakyat dianggap sama rata dan setiap individu boleh bersaing secara adil.

Lanjutan daripada itu, semua jenis pendidikan dengan bahasa yang berbeza akan dapat berkembang dengan bebas. Perundangan akan disusun semula supaya selaras dengan hukum-hukum Islam dan tata tertib masyarakat juga akan berubah seperti lelaki dan perempuan mestilah duduk serta beratur secara berasingan di tempat awam dan sebagainya.

Tambahan lagi, rancangan-rancangan televisyen dan radio kegemaran muda-mudi yang dikira bercanggah dengan Islam pasti akan diberhentikan, justeru adegan-adegan rancangan televisyen yang menyiarkan perempuan yang berpakaian mendedahkan susuk badan diharamkan.

Bagaimanapun, PAS akan membanteras semua bentuk kronisme dan rasuah, sekaligus menjadikan pentadbiran kerajaan lebih telus.

Matlamat negara Islam kelihatan sangat menarik kerana ia dapat menyelesaikan banyak masalah yang selama ini menghantui rakyat, tetapi dalam sebuah negara Islam, keadilan yang hakiki hanya menuju kepada orang Islam dan bukan terhadap orang bukan Islam yang dianggap sebagai orang kafir.

Bermakna orang bukan Islam menganggap tidak akan dapat menikmati kehidupan seharian mereka sebagaimana yang dinikmati oleh rakyat yang beragama Islam sepenuhnya.

Adakah ini benar? Mohon PAS terangkan lagi untuk meyakinkan saya..

Jika semua rakyat beragama Islam, masalah itu tidak timbul sama sekali sekali, tetapi oleh kerana Malaysia adalah negara berbilang agama, maka matlamat negara Islam pasti akan menimbulkan banyak masalah di luar jangkaan kita.

Saya syorkan agar pertubuhan bebas menganjurkan lawatan ke negara-negara yang diperintah dan bertunjangkan Islam, khususnya mengenai peruntukan yang telah digubal oleh kerajaan berkenaan untuk menjamin kedudukan orang-orang bukan Islam.

Saya juga mencadangkan agar DAP turut menyertai lawatan sedemikian.. Mungkin mereka juga akan mendapat tindak balas mengenai konsep negara Islam sebenarnya yang mempunyai banyak kebaikan daripada keburukan.

Justeru itu, sudah tiba masanya PAS memberi penerangan terperinci tentang negara Islam bagi mengelakkan salah faham dan kekhuatiran di kalangan rakyat Malaysia.