Presiden Umno sekali lagi salahkan orang lain
Sekali lagi parti UMNO (Baru) bersidang dan sekali lagi, Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad mengambil kesempatan untuk menyalahkan orang lain terhadap apa yang telah berlaku di dalam negara selama pemerintahan beliau.
Gejala keruntuhan moral anak muda langsung tidak disentuh, sebaliknya tuntutan berqiamulai dan pendidikan agama yang dipersalahkan. Gejala politik wang tidak dilihat sebagai kegagalan pemimpin dan golongan agama dalam Umno (B) dalam mentarbiyyah ahlinya sendiri.
Bagaimana mereka ini dapat memperbaiki nasib rakyat sekiranya penyakit di dalam tubuh sendiri gagal untuk diubati? Politik wang hanya timbul dalam parti - bagaimana pula cerita-cerita lama berkaitan politik wang sewaktu pilihanraya?
Dr M juga menghadkan perbincangan hanya kepada orang Melayu semata-mata sedangkan di dalam Umnno (B) terdapat kaum-kaum Bumiputera yang lain dan yang terbaru adalah kaum Cina dari parti Akar. Adakah golongan ini merupakan pendokong parti Umno (B) kelas kedua?
Persidangan kali ini juga menampakkan Umno (B) terus menggambarkan kekerasan sikap mereka selepas pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pejuang Reformasi. Barang diingat, sikap keras terhadap parti pembangkang sebenarnya melambangkan ketakutan yang terdapat dalam diri Umno (B).
Sesungguhnya, Umno (B) pada usia 55 tahun tidak ubah seperti seseorang yang menunggu saat untuk bersara.
Hanya ahli-ahli Umno (B) yang sedang bersidang di KL sahaja yang dapat memperbetulkan keadaan yang ada. Tidak semua pendapat yang dibuat adalah benar belaka.

