Nilai semula justifikasi hukuman ke atas Rafzan
Ada beberapa hal yang wajib diperhatikan sebelum sesuatu hukuman diputuskan. Pertama, adakah wajar kesalahan tersebut dikenakan hukuman tertentu? Tentulah tidak wajar sekiranya mereka yang mencuri selipar di masjid dibelasah sampai mati.
Kedua, mengapakah kesalahan tersebut dilakukan? Tentulah, adalah zalim menghukum pencuri yang mencuri sekeping roti kerana kelaparan.
Begitu yang wajib diperhatikan apabila Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyingkirkan Rafzan Ramli kerana menyertai perhimpunan aman bagi membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara baru-baru ini.
Seorang mahasiswa yang memiliki kemampuan intelektual tentulah tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pengajiannya. Sebagai mahasiswa, saya pasti, Rafzan Ramli menyedari implikasi tindakannya. Begitu juga mahasiswa lain yang turut menghadiri perhimpunan berkenaan.
Implikasi pertama yang dihadapi ialah tindakan ganas pihak polis untuk menyurai perhimpunan. Tindakan polis yang tentulah mendapat restu Kementerian Dalam Negeri dan menteri berkenaan iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri wajib dilihat sebagai tindakan tanpa perikemanusiaan. Ia menjejaskan imej mesra polis dan mencarik krediliti Pak Lah sebagai negarawan di mata mahasiswa.
Perhimpunan berkenaan membantah kewujudan dan penggunaan ISA. Sebagai pusat keintelektualan yang padanya wujud fakulti yang membicarakan persoalan perundangan tentu memahami erti hak-hak asasi manusia.
Saya kira, tidak waras ahli akademik menganggap ISA tidak bercanggah dengan hak asasi manusia. Setakat ini, hanya Dr Rais Yatim sahaja yang tidak berpandangan begitu. Janganlah ada mana-mana ahli akademik yang tidak menghargai kerja akademik mereka.
Perhimpunan tersebut barangkali benar dikatakan sebagai haram dan tidak mendapat kelulusan pihak polis. Ia boleh sahaja bertukar menjadi ganas sekiranya mahasiswa tidak mengawal emosi mereka.
Malangnya, dalam keadaan mahasiswa yang berjaya mengawal emosi, keganasan tetap berlaku. Dan ia tidak datang daripada mahasiswa, sebaliknya daripada golongan yang sepatutnya mengawal sebarang anasir keganasan meresap masuk ke dalam perhimpunan itu.
Menghadiri perhimpunan berkenaan memberikan implikasi buruk terhadap pengajian mahasiswa. Rafzan Ramli dan UiTM membuktikannya.
Walau bagaimanapun, sebab-musabab kepada perhimpunan tersebut perlu juga dikaji. Adakah mahasiswa berkenaan akan mengadakan perhimpunan tersebut andainya ISA masih wujud atau pun disalahgunakan? Ia adalah persoalan mudah yang boleh dijawab sebuah institusi pendidikan yang menghargai keintektualan manusia.
Manusia yang intelek tidak hanya dikira mampu menghasilkan sekian banyak kajian, tetapi sejauh mana kajian mereka bermanfaat kepada manusia.
Kajian yang tidak bermanfaat kepada manusia bukan sahaja tidak boleh dikategorikan kerja akademik, malahan, adalah pembaziran haprak.
Kajian tersebut bukan sahaja berbentuk bertulis, malahan wajib juga dikira pemahaman dan idea. Pemahaman dan idea mahasiswa terhadap ISA adalah bentuk kajian akademik yang wajib dihormati.
Adalah janggal untuk mengatakan mahasiswa terikut-ikut kempen menentang ISA tanpa mengkaji sedalam-dalamnya.
Sudah tentulah, mahasiswa mempunyai interpretasi terhadap kewujudan ISA sehingga mereka beranggapan wajib diadakan sebuah perhimpunan untuk menunjukkan pemahaman mereka terhadap ISA. Justeru, perhimpunan pada hari itu tercetus, dan Rafzan Ramli adalah salah seorang yang menghadirinya.
Pihak UiTM wajib menilai hal ini. Kemudian, wajib pula melihat adakah hukuman yang dikenakan bertepatan dengan kesalahan tersebut.
Menggadaikan masa depan seorang mahasiswa yang berkemungkinan akan menjadi tenaga penggerak kepada kemajuan negara adalah harga yang tidak tertebus.
Kita anggap sahaja, Rafzan Ramli bersalah kerana menghadiri perhimpunan berkenaan, tetapi adakah hukuman tersebut wajar? Secara sepintas lalu, pihak UiTM berhak menjatuhkan hukuman tersebut kerana Rafzan Ramli dituduh melanggar Kaedah 3 (a), (b ) dan 11, Bahagian 11, Tatatertib Am dalam Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976.
Namun, penghukuman tidak hanya berpandukan fakta-fakta yang ada dalam peruntukan undang-undang, bahkan wajib dilihat daripada kemanusiaan. Berapa banyak kesalahan yang berlaku tetapi apabila dinilai dari sudut kemanusian, hukuman tidak dikenakan.
Berlaku pada zaman Saidina Umar r.a, pencuri unta dibebaskan kerana mencuri atas sebab kelaparan. Pencuri tersebut secara jelas melanggar hudud Allah, tetapi Saidina Umar menilai sebab-musabab yang membawa kepada syubhat dalam perlaksanaan hudud tersebut. Justeru, mereka dibebaskan.
Begitu juga Rafzan Ramli. Justifikasi hukuman bukan hanya kehadiran Rafzan dalam perhimpunan berkenaan, bahkan sebab musabab Rafzan menghadiri perhimpunan berkenaan.
Kita mengharapkan, UiTM tidak menggadaikan masa depan seorang penuntut hanya kerana terlalu keyakinan terhadap kesalahan Rafzan tersebut.
Buat masa sekarang, barangkali UiTM tidak rugi apa-apa dengan sebab kehilangan seorang penuntutnya, tetapi tidak mustahil, suatu hari nanti, ia akan menjadi punca kepada kegagalan negara kerana kegagalan sebuah universiti bertindak dengan galur kemanusiaan.
Kita tidak mengharapkan kepongahan yang melanda Umno, juga melanda institusi pendidikan!

